Followers

Wednesday, September 22, 2010

"Banyak cerita kisah hidup P Ramlee tidak tepat": Ahmad Nawab

GEORGETOWN: Seniman Negara Datuk Ahmad Nawab akan menyerahkan beberapa koleksi peribadinya mengenai Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee dan akan membongkar semula kisah hidup seniman agung itu kepada Jabatan Arkib Negara.

Katanya, beliau mengenali P.Ramlee secara dekat kerana membantu seniman agung itu untuk mengubah lagu selama sembilan tahun malah pernah tinggal di rumah P.Ramlee di Kuala Lumpur. "Saya kesal kerana banyak cerita mengenai kisah hidup P.Ramlee adalah tidak tepat malah ada yang berbohong, saya kenal P.Ramlee kerana kami bekerjasama dalam membuat muzik, P.Ramlee tidak pernah meminta lagu dari sesiapapun untuk filemnya kecuali dari saya sahaja," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Ahmad berkata, antara fakta yang tidak betul ialah mengenai dakwaan P.Ramlee seorang yang pandai bermain semua alat muzik sedangkan Seniman Agung itu hanya berkebolehan bermain piano untuk mencipta lagu.

"Jika kita lihat filem Ibu Mertuaku, yang meniup saksofon sebenarnya ialah Ahmad B dan dalam filem Masam-masam Manis pula, yang meniup saksofon adalah saya sendiri, ini kerana P.Ramlee tidak boleh bermain saksofon tetapi beliau berkebolehan untuk memegang saksofon dengan gaya yang betul," katanya.

Beliau berkata beberapa fakta mengenai kisah hidup P.Ramlee yang diceritakan oleh kenalannya adalah tidak tepat kerana P.Ramlee sendiri tidak pernah ditemubual oleh media semasa hayatnya.

"Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa P.Ramlee gemar untuk memakan buah tembikai dan dicicah dengan sambal kicap...ini pelik tetapi itulah kegemaran P.Ramlee," katanya.
Sebagai permulaan Ahmad Nawab menyerahkan potret beliau bersama P.Ramlee yang dirakam pada 1965 di Sarawak kepada Arkib Negara untuk dipamerkan di Galeri P.Ramlee di sini.

Katanya, usaha menyerahkan koleksi peribadi mengenai seniman agung itu adalah penting supaya ia dapat menjadi tatapan generasi akan datang untuk mengenali kisah hidup P.Ramlee yang sebenar.

Sementara itu, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Datuk Seri Mohd Yussof Latiff berkata, persatuan itu akan menganjurkan Seminar Pemikiran P.Ramlee di Kem Tun Razak, Bukit Gedong di sini pada Oktober depan.

Katanya, seminar itu akan membetulkan fakta-fakta mengenai kisah hidup P.Ramlee dan Ahmad Nawab akan dijemput sebagai salah seorang anggota panel. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget