Followers

Sunday, July 4, 2010

Sidang kemuncak D-8 bermula di Abuja

ABUJA: Sidang kemuncak Kumpulan Lapan Negara-negara Islam Membangun (D-8) kali ketujuh bermula hari ini dengan mesyuarat Suruhanjaya D-8 di ibu negara Nigeria ini.

Sesi ke-28 mesyuarat Suruhanjaya selama dua hari itu yang diadakan di Dewan Bankuasi State House di Asokoro di sini membabitkan pegawai kanan dan teknokrat yang dilantik Kementerian Hal Ehwal Luar setiap negara anggota.
D-8 ditubuhkan pada 15 Jun 1997 di Istanbul, Turki dan terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan and Turki.
Sebagai badan eksekutif di dalam D-8, suruhanjaya itu akan melaksanakan resolusi dan peranan yang dipertanggungjawabkan kepada setiap negara anggota.

Menteri Luar D-8 termasuk Datuk Seri Anifah Aman akan menghadiri sesi ke-13 Majlis Menteri-menteri Luar D-8 di venue sama Selasa ini.

Ketua kerajaan negara anggota dijadual tiba di sini bagi menghadiri sidang kemuncak itu, esok.

Malaysia yang menjadi hos bagi sidang kemuncak pada 2008 itu akan diwakili Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada kemuncak sidang pada 8 Julai, ketua-ketua kerajaan akan berbincang dan menerima pakai laporan sesi ke-13 Majlis Menteri-menteri Luar D-8.

Mereka juga dijangka mengesahkan Senarai Tawaran Perjanjian Perdagangan Istimewa D-8 dan begitu juga dengan perbincangan dan menerima pakai Deklarasi Abuja pada penutup sidang kemuncak itu.

Deklarasi Abuja itu dijangka bagi menangani isu yang boleh mengurangkan cabaran yang dihadapi negara anggota D-8 termasuk krisis ekonomi global, tenaga, perubahan iklim dan pemanasan global kerana isu itu menjejaskan pertanian dan keselamatan makanan selain pengangkutan dalam perdagangan dunia.

Pada kemuncak sidang itu, Muhyiddin juga dijangka menyerahkan jawatan pengerusi D-8 yang disandang Malaysia sejak 2008 kepada Presiden Nigeria, Goodluck Jonathan.

Sidang kemuncak bertemakan "Meningkatkan Kerjasama Pelaburan di kalangan Anggota D-8" itu juga membabitkan penyertaan sektor swasta selain daripada ketua kerajaan, menteri luar dan birokrat.

Sidang kemuncak itu juga bermatlamat untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi melalui perkongsian kepakaran dalam bidang-bidang tenaga, pengangkutan, pelancongan, perbankan, institusi kewangan, pembangunan infra struktur, pembangunan sumber manusia, sains dan teknologi, pekerja migran dan penghantaran wang, usahawan kecil dan sederhana dan juga teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Ia juga bertujuan menggalakkan penyertaan negara anggota dalam proses membuat keputusan di peringkat antarabangsa.

Antara agenda penting sidang kemuncak ialah Hala Tuju bagi Kerjasama Ekonomi D-8 (2008-2018).

Hala tuju yang telah diluluskan pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada 2008 itu, bermatlamat menggalakkan kerjasama ekonomi yang lebih maju antara negara anggota dan untuk membantu dalam menggerakkan sumber-sumber daripada sektor kerajaan dan swasta dalam melaksanakan projek D-8. - BERNAMA

0 comments: