Followers

Sunday, July 4, 2010

Tindakan pembangkang tidak jejas keyakinan warga FELDA: GWGF

SUNGKAI: Dakwaan tidak berasas dan usaha pihak tertentu terutama pembangkang yang cuba meraih kelebihan politik dengan memburuk-burukkan imej FELDA tidak menjejaskan keyakinan masyarakat peneroka dan generasinya terhadap keutuhan agensi itu.

Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail, berkata maklum balas dan tinjauan mendapati isu "FELDA bankrap" yang sengaja dicetuskan pembangkang itu tidak menjejaskan sedikit pun operasi agensi itu di peringkat tanah rancangan serta kehidupan warganya.
Malah, katanya, tiada sebarang petanda yang mengesahkan bahawa agensi kerajaan itu bankrap apabila segala urusan di kawasan FELDA berjalan seperti biasa terutama di pejabat pengurusan FELDA, koperasi dan kedainya.
"Di tanah rancangan tidak ada kesan, mereka (peneroka) melihat pejabat FELDA masih dibuka, kedai FELDA masih ada dan begitu juga dengan urusan seharian. Kalau bankrap semua tutup dan tidak ada kenyataan yang dibuat oleh pihak bank yang mengatakan FELDA bankrap. Kita tidak mahu perkara tidak betul ini berulang dan ia perlu dihentikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas memberi taklimat mengenai penyusunan semula GWGF di bawah model baru ekonomi, pendidikan dan sosial menjelang tahun 2020 dan penerangan isu semasa mengenai FELDA peringkat wilayah Trolak di FELDA Gunung Besout 1 di sini hari ini.

Suara Keadilan bertarikh 22-29 Jun lalu memaparkan laporan muka depan "Felda Bankrap" dan pada Khamis lalu FELDA mengemukakan notis menuntut ganti rugi RM200 juta serta permohonan maaf daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung laporan akhbar itu.

Rozali berkata, GWGF turut kesal dengan segelintir peneroka yang turut "bersekongkol" dengan pihak pembangkang dalam isu berkenaan yang hanya menggunakan golongan peneroka untuk kepentingan politik masing-masing.
"Kita mahu bendung perkara yang tidak betul ini. Saya kesal kerana selepas 53 tahun negara merdeka dan FELDA berjaya serta para peneroka mendapat banyak hasil daripada kejayaan ini serta sumbangan pemimpin negara yang berfikir, kenapa kita mahu rosakkan benda yang baik. Sepatutnya kita perlu bantu dan majukan lagi FELDA," katanya.

Rozali berkata, GWGF akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa tertinggi perundangannya minggu depan untuk membuat pertimbangan berhubung tindakan yang sewajarnya diambil terhadap dakwaan yang melibatkan maruah warga peneroka itu.

Beliau berharap isu itu dapat diperjelaskan kepada warga peneroka dan generasinya supaya mereka tidak gusar kerana GWGF tidak mahu isu ini melemahkan tumpuan generasi baru yang bekerja dan sektor pertanian negara.

Mengenai cadangan pelantikan seorang Senator atau Ahli Dewan Negara pula, beliau berkata GWGF sedang mengumpul maklum balas dan sokongan terhadap cadangan berkenaan.

"Kita membuat cadangan itu kerana lebih baik seseorang duduk di dalam (Dewan Negara) sebagai wakil Felda sekiranya boleh dan masih ada kekosongan. Ini kerana kita melihat banyak isu FELDA yang dibincangkan di Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Bagaimanapun ia perlu dapat sokongan warga FELDA dan generasi baru sebelum dibawa kepada kerajaan," katanya.

Mengulas mengenai penganjuran taklimat hari ini, beliau berkata ia adalah tindakan susulan yang diambil hasil daripada mesyuarat tertinggi GWGF yang diadakan di Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Taklimat yang akan diberi di Negeri Sembilan, Johor dan Pahang selepas ini juga bertujuan mendapatkan maklum balas dan sokongan berhubung cadangan transformasi FELDA dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial di kalangan generasi baru institusi itu di seluruh negara.

"Perak adalah negeri pertama untuk mendapatkan sokongan bagi cadangan bagaimana kita mahu melihat FELDA pada tahun 2020 yang yang mana kita perlu memastikan ia seiring dengan transformasi ekonomi negara yang dibuat oleh Perdana Menteri," katanya.

Terdahulu, Rozali menerima empat memorandum menyokong cadangan penyusunan semula itu serta membantah laporan isu "FELDA bankrap" yang dimainkan pembangkang daripada Gugusan Felda Trolak, Felda Besout, Gugusan Felda Hulu Perak (Perak) dan Felda Sungai Dusun (Selangor). - BERNAMA

0 comments: