Followers

Sunday, July 4, 2010

Bukti sikap sebenar Anwar jelas: Muhyiddin

BATU PAHAT: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan beberapa tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak akhir-akhir ini adalah suatu pengkhianatan kepada bangsa kerana ia telah menyebabkan perpecahan di kalangan orang Melayu.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata orang Melayu perlu sedar tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana bukti mengenainya adalah amat jelas.
"Buktinya (tindakan Anwar) adalah amat jelas. Rakyat perlu sedar mengenai sikap berdolak-dalik dan pembohongan yang dilakukan beliau yang telah menyebabkan perpecahan dan keretakan di kalangan orang Melayu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Batu Pahat.
Hadir sama Ketua Bahagiannya, Dr Mohd Puad Zarkashi, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.

Sebelum ini, Anwar bermuka-muka kononnya menjadi pejuang rakyat negara ini dengan mengutuk APCO Worldwide sebagai penceroboh Zionis tetapi tembelangnya didedahkan Washington Post.

Anwar dilaporkan melawat Amerika Syarikat untuk bertemu dan meminta maaf daripada rakannya di negara itu selepas terbabit dalam demonstrasi besar-besaran di depan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur sebelum itu dan mengecam Israel.

Muhyiddin berkata, bukti mengenai hubungan baik Anwar dengan pemimpin Zionis dan Yahudi di Amerika Syarikat juga adalah jelas untuk dinilai oleh rakyat dan orang Melayu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, hubungan baik Anwar dengan rakan Yahudi dan Zionisnya, telah pun diketahui oleh orang ramai sejak daripada dahulu lagi.

"Dia ada ramai kawan (Zionis dan Yahudi) di sana (Amerika Syarikat) sejak daripada dulu lagi," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan di antara Datuk Zaid Ibrahim dan Raja Petra Kamaruddin di London baru-baru ini, Muhyiddin berkata, ia menunjukkan hubungan yang jelas di antara PKR dengan penulis portal berita "Malaysian Today" yang sedang diburu oleh polis.

"Ia menunjukkan hubungan yang jelas di antara Raja Petra dan Zaid Ibrahim," katanya sambil menambah pemimpin PKR itu perlu tampil ke depan untuk menjelaskan hubungannya dengan penulis blog itu.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Muhyiddin mengingatkan ahli UMNO bahawa mereka mempunyai tempoh tidak lebih daripada dua tahun untuk melakukan perubahan dan persedian bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

"Perubahan atau transformasi perlu dilakukan dengan cepat kerana kita tidak mempunyai masa yang mencukupi," katanya sambil menambah bahawa ahli UMNO perlu bergerak dengan segera dalam melaksanakan perubahan yang dituntut.

Timbalan Presiden UMNO itu juga berkata, ahli parti perlu melakukan perubahan kerana lanskap serta senario politik negara pada ketika ini telah jauh berubah hasil daripada keputusan pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

Katanya, perubahan itu perlu dilaksanakan untuk memulihkan perpaduan di kalangan orang Melayu yang berpecah kepada tiga golongan dan memastikan mereka kembali menyokong Umno serta perjuangannya. - BERNAMA

0 comments: