Followers

Wednesday, June 16, 2010

Polis beri syor langkah bendung pengaruh pengganas dalam kampus:KPN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha untuk membendung pengaruh anasir pengganas dalam kampus, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

"Ini masalah yang serius dan kita akan mencadangkan beberapa langkah efektif yang harus diberi perhatian bagi memastikan masalah berkenaan dapat ditangani," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata dalam pertemuan dengan kementerian itu nanti, beliau turut akan menerangkan betapa seriusnya isu pembabitan pelajar dalam militan memandangkan kegiatan berkenaan membabitkan soal keselamatan negara.
"Kita mengharapkan maklum balas daripada pihak kementerian berkenaan lebih-lebih lagi dalam usaha menyelaras bentuk kerjasama untuk menangani masalah ini," katanya.

Beliau baru-baru ini dilaporkan berkata kumpulan JI warga asing dikesan cuba menghidupkan kembali perjuangan mereka dengan merekrut golongan remaja di negara ini, termasuk pelajar IPT.

Perkara itu terbongkar ekoran penahanan 10 anggota JI sejak awal tahun ini dan mereka sudahpun diusir untuk dikenakan tindakan undang-undang di negara asal.

Sehingga kini mereka sudah merekrut 20 hingga 30 pelajar IPT yang mudah terpengaruh selepas menghadiri ceramah yang diadakan oleh kumpulan ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula berkata kegiatan pelajar Malaysia di negara-negara Timur Tengah sentiasa dipantau bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kegiatan militan.

Selain membuat pemantauan itu, Bahagian Hal Ehwal Agama Islam di JPM turut bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Luar dan Kementerian Belia dan Sukan dalam menangani perkara itu.

"Kita bincang bagaimana nak jaga anak-anak ini supaya kita ada kesepakatan untuk memantau dari masa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama media di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.

Jamil Khir berkata beberapa pegawai dilantik bagi memastikan pelajar di luar negara mendapat kefahaman terhadap semangat jihad yang betul. - BERNAMA

0 comments: