Followers

Wednesday, June 16, 2010

Kerajaan tidak perlu gubal akta antilompat parti: Tun Mahathir

JOHOR BAHRU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan tidak perlu mengadakan akta antilompat parti sebagaimana yang didesak Pengerusi DAP, Karpal Singh.
"Tidak perlu kerana sebelum ini pihak pembangkang tidak berkata apa-apa apabila wakil rakyat Barisan Nasional lompat parti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dr Mahathir ditemui selepas melancarkan anak syarikat kumpulan Mutiara Motors, M7 Racing Sdn Bhd, dan merasmikan Pusat Penyelidikan & Pembangunan M7 di Bangunan Mutiara Motors Larkin di sini.
Karpal dilaporkan mengulangi gesaannya kepada kerajaan supaya mempertimbangkan akta itu bagi memastikan wakil rakyat mengosongkan kerusi mereka selepas keluar parti masing-masing.

Ini berikutan tindakan mengejut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar di Perak, Keshwinder Singh, keluar DAP semalam dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Menjawab soalan, Dr Mahathir berkata wakil rakyat Bebas mempunyai peranan tersendiri iaitu menegur pihak pembangkang atau BN sekiranya ada yang melakukan kesilapan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, yang turut hadir berkata akta itu tidak perlu digubal kerana bertentangan dengan sistem demokrasi negara ini.
"Saya tidak setuju sebab kalau kita adakan akta yang sedemikian bermakna kita menghalang proses demokrasi," katanya.

Ibrahim percaya mereka yang keluar parti adalah kerana tidak berpuas hati dengan perjuangan parti mereka dan bukannya disogok atau dibeli oleh mana-mana pihak. - BERNAMA

0 comments: