Followers

Wednesday, June 16, 2010

Pemberian AP kenderaan untuk Bumiputera perlu diteruskan: Tun Mahathir

JOHOR BAHRU: Kerajaan disyor meneruskan pemberian Permit Import (AP) kenderaan terbuka secara percuma kepada peniaga Melayu dan Bumiputera yang benar-benar menggunakan permit berkenaan untuk menjalankan perniagaan dalam bidang automotif.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tujuan kerajaan memberi AP untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera menceburkan diri dalam bidang perniagaan automotif yang sebelum ini dimonopoli peniaga bukan Bumiputera.
"Ia tidak ada masalah. Mereka yang layak dan benar-benar mempunyai bukti menjalankan perniagaan, tidak perlulah dikenakan bayaran... bagaimanapun, ia hanyalah pendapat saya yang bukan lagi dalam kerajaan.
"Sebaliknya, mereka yang menjual AP untuk meraih keuntungan ini patut diambil tindakan dan ditarik balik AP mereka," katanya ketika mengulas mengenai langkah kerajaan ketika ini yang mengenakan caj RM10,000 pada setiap AP terbuka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran M7 Racing Sdn Bhd (M7) dan perasmian Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) M7 di Bangunan Mutiara Motors, Larkin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Motors, Datuk Ahmad Kemin, Pengarah Urusan Mutiara Motors, Mokhtar Ahmad dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Ali Hassan.

M7 adalah syarikat yang menjalankan aktiviti perlumbaan dan R&D produk alat ganti berprestasi tinggi yang dibangunkan di negara ini dan Jepun.
Produk yang kemudian dihasilkan di Jepun itu kini berjaya menembusi pasaran Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia, Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat.

Dr Mahathir berkata, beliau menyedari ada penerima AP menyalahgunakan permit berkenaan dengan menjualnya bagi meraih keuntungan cepat pada kadar RM8,000 untuk satu AP sedangkan mereka sepatutnya boleh mengaut keuntungan dengan menjalankan perniagaan berkenaan sendiri.

"Saya sedih kerana AP dicipta untuk menolong dan menjayakan peniaga Melayu dalam bidang automotif dan dengan peluang berkenaan kerajaan percaya mereka dapat meraih keuntungan dengan menceburkan diri dalam perniagaan yang tidak terbuka kepada Bumiputera.

"Bagaimanapun, ada peniaga Melayu yang benar-benar berniaga hasil daripada pemberian AP hingga mencatat kejayaan tinggi seperti Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin Amin yang kini mempunyai syarikat yang sangat besar dalam bidang automotif sehingga mampu menjual kereta dengan mengguna jenama sendiri, Naza.

"Saya juga gembira dengan kejayaan Mutiara Motors yang bermula pada 1982 yang membuktikan usaha kerajaan untuk membawa orang Melayu dalam bidang automotif ini berjaya," katanya.

0 comments: