Followers

Tuesday, May 18, 2010

Rundingan rahsia bagi akhiri pertempuran di Bangkok

BANGKOK: Rundingan bagi mengakhiri pertempuran antara pasukan keselamatan dan pihak antikerajaan yang memasuki hari keenam masih berlangsung hari ini di mana belum menunjukkan tanda penyelesaian dicapai.
Sehingga kini, ia sudah mengorbankan 36 nyawa.
Kerajaan melanjutkan tempoh untuk mengambil alih kawasan yang dikuasai kumpulan penunjuk perasaan di tengah-tengah bandaraya bagi memberi laluan kepada rundingan itu, sekalipun tempoh akhir iaitu jam 3 petang semalam untuk kumpulan tersebut berundur berakhir.
Pemimpin kumpulan Baju Merah, Dr Weng Tojirakarn, mengesahkan hari ini seorang pemimpin mereka, Veera Musikapong sedang berusaha berunding secara rahsia bagi mencapai penyelesaian damai.

Beliau yakin, Veera akan berjaya menghentikan pertumpahan darah.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, penunjuk perasaan masih bertahan di kawasan itu sementara pihak keselamatan pula tidak bertindak untuk masuk dan mengambil alih kawasan terbabit.

Veera adalah pemimpin yang dihormati termasuk oleh pihak kerajaan kerana beliau terkenal dengan pendekatan secara aman, tidak seperti pemimpin Baju Merah yang lain.
Malah, beliau tidak membabitkan diri apabila pemimpin Baju Merah yang lain enggan berundur daripada kawasan yang diduduki melewati tarikh akhir 12 Mei lalu sekali gus membawa kepada situasi sekarang.

Pada peringkat awal, kedua-dua pihak enggan mengalah kepada tuntutan masing-masing.

Kerajaan mahu penunjuk perasaan menamatkan perhimpunan mereka dan menyerah diri bagi mencapai penyelesaian secara aman, sementara pihak antikerajaan pula mendesak supaya kerajaan terlebih dulu menarik balik pasukan keselamatan sebelum mengadakan rundingan.

Tumpuan utama kerajaan adalah untuk mengurangkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa sekiranya pasukan keselamatan terpaksa memasuki kawasan itu sebagai langkah akhir dalam usaha menyuraikan kira-kira 5,000 penunjuk perasaan di kawasan itu.

Ianya juga adalah hasrat majoriti rakyat Thailand dan masyarakat antarabangsa, malah sebahagian besar kumpulan Baju Merah sendiri.

Rundingan dijangka diselesaikan hari ini memandangkan cuti umum khas dua hari untuk Bangkok berakhir hari ini.

Ketika rundingan berlangsung, seorang lagi maut menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang terkorban 36 orang setakat ini, sementara jumlah yang cedera pula meningkat kepada 256 orang selepas 23 lagi cedera hari ini.

Pertempuran sengit berlangsung di Din Daeng dan Bon Kai sepanjang malam tadi.

Kerajaan menyediakan makanan dan tempat perlindungan sementara bagi kira-kira 2,000 keluarga yang terperangkap dalam pertempuran di Bon Kai itu.

Bantahan aman oleh kumpulan antikerajaan mendesak pembubaran Parlimen sejak 12 Mac lalu kini menjadi peperangan berdarah dengan letupan bom dan pertempuran senjata api termasuk penggunaan pelancar roket dan penembak hendap.

Kawasan seluas empat kilometer persegi yang diduduki kumpulan penunjuk perasaan itu adalah lokasi hotel bertaraf lima bintang, pusat membeli-belah yang mewah serta bangunan pejabat-pejabat utama. - Bernama

0 comments: