Followers

Tuesday, May 18, 2010

Kumpulan kerja ditubuh di bawah Suruhanjaya Bersama Malaysia-Indonesia

PUTRAJAYA: Beberapa kumpulan kerja akan ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Bersama Malaysia-Indonesia untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman akan melawat republik itu bulan depan bagi mengenal pasti bidang-bidang dan bidang tugas kumpulan kerja tersebut.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan empat mata dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di sini, hari ini.
Najib berkata, Suruhanjaya Bersama ini hendaklah melaporkan kemajuan yang dicapai kumpulan kerja ini setiap tiga bulan kepada pemimpin kedua-dua negara.

Beliau berkata, kedua-dua pihak bersetuju supaya Suruhanjaya Bersama yang sedia ada itu menjadi mekanisme untuk menyelia dan juga untuk mengambil tindakan menyelesaikan sebarang isu berbangkit antara kedua-dua buah negara berjiran itu.

"Jadi kedua belah pihak merasa bahawa Suruhanjaya Bersama kita perlu kembali bersemangat supaya lebih banyak isu dapat diselesaikan," katanya.

Selain itu, katanya, Suruhanjaya Bersama tersebut juga adalah mekanisme untuk mencari bidang-bidang baru yang boleh diperbincangkan untuk meningkatkan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Jakarta.
Susilo tiba hari ini bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ketujuh antara pucuk pimpinan kedua-dua negara dan turut dijadual berucap pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), esok. - Bernama

0 comments: