Followers

Tuesday, May 18, 2010

Maritim: Malaysia, Indonesia setuju rundingan hala tuju baru politik

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia dan Indonesia hari ini bersetuju supaya hala tuju baru politik diberikan dalam rundingan antara dua negara berjiran berhubung isu sempadan maritim dalam usaha mengatasi sebarang masalah berbangkit.
Bercakap kepada pemberita dalam pertemuan empat mata dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di sini hari ini, Perdana Menteri berkata, setakat ini 14 siri rundingan sudah diadakan berhubung isu itu dan pada mesyuarat hari ini kedua-dua pemimpin meminta pegawai dan jawatankuasa teknikal terbabit untuk meneruskan rundingan dalam bagi mencapai matlamat.
Najib berkata, sementara wujud isu di mana Kuala Lumpur dan Jakarta mampu menyelesaikannya tanpa sebarang masalah, terdapat sesetengah isu yang agak kompleks "yang sudah pasti mengambil masa seperti isu sempadan maritim."
Perdana Menteri berkata, apabila jawatankuasa teknikal bermesyuarat, mereka tidak akan mengubah pendirian terutama dalam soal kedudukan dan pendirian mereka sendiri.

"(Jadi), ia hanya apabila mereka mendapat hala tuju baru politik bagi membolehkan mereka fleksibel untuk mengubah kedudukan mereka," katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir rundingan tahunan antara kedua pemimpin tertinggi.

Najib juga berkata, kedua-dua pihak cenderung untuk kekal dengan kedudukan mereka apabila ia menyentuh soal perundingan.

"Jadi, satu cara bagi kita mengatasi masalah itu adalah hala tuju baru politik supaya wujud sedikit pergerakan," katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan bahawa ini tidak bermakna bahawa hubungan antara Malaysia dengan republik itu tidak berjalan dengan lancar.

"Ia memang tidak dapat disangkal...bukanlah hubungan itu tidak begitu baik antara kedua belah pihak. Tetapi isunya adalah isu rumit apabila ia membabitkan persoalan kedaulatan... ia akan menjadi rumit," katanya.

Mengenai isu Ambalat, di Laut Sulawesi Selatan yang dikatakan kaya dengan simpanan minyak dan gas, yang dirujuk oleh Malaysia sebagai Blok ND 6 dan 7, Najib berkata: "Saya bercakap mengenai maritim...kami tidak secara khusus berbincang mengenai Ambalat tapi sempadan maritim," katanya. - Bernama

0 comments: