Followers

Tuesday, May 11, 2010

IPP meningkat 14.1 peratus tahun ke tahun pada Mac

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Mac 2010 meningkat 14.1 peratus tahun ke tahun dan meningkat 15.1 peratus bulan ke bulan, demikian menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

Sementara itu, peningkatan IPP bagi Februari 2010 disemak semula kepada 4.8 peratus tahun ke tahun berbanding dengan perangkaan lebih awal sebanyak 4.9 peratus.

Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata peningkatan tahun ke tahun pada Mac itu adalah berikutan kenaikan pada dua indeks, iaitu pengilangan (20.3 peratus) dan elektrik (24.9 peratus).
Indeks perlombongan merosot 0.5 peratus.

Indeks komulatif bagi suku pertama 2010 meningkat 11.0 peratus berbanding dengan tempoh yang sama 2009.

Pengeluaran pengilangan pada Mac 2010 meningkat 20.3 peratus berbanding dengan Mac 2009. Pengeluaran bagi Februari tahun ini meningkat 7.1 peratus (disemak semula) berbanding dengan tempoh yang sama 2009.

Berbanding bulan sebelum itu, pengeluaran bagi Mac 2010 meningkat 16.3 peratus berikutan kenaikan produk elektrik dan elektronik (46.1 peratus); produk kayu, perabot, produk kertas, percetakan (25.5 peratus); petroleum, kimia, getah dan produk plastik (7.4 peratus).
Pengeluaran pengilangan bagi suku pertama 2010 meningkat 15.2 peratus berbanding dengan suku yang sama 2009.

Pengeluaran sektor perlombongan pada Mac 2010 merosot 0.5 peratus tahun ke tahun disebabkan kemerosotan indeks minyak mentah (3.6 peratus) walau pun indeks gas asli meningkat 6.5 peratus.

Berbanding dengan bulan sebelum ini, pengeluaran perlombongan meningkat kepada 11.9 peratus, manakala bagi suku pertama 2010, ia meningkat 0.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengeluaran elektrik meningkat 24.9 peratus pada Mac 2010 berbanding dengan tempoh sama setahun lalu.

Berbanding dengan bulan sebelum itu, pengeluaran elektrik mencatatkan kenaikan 16.8 peratus.

Penjanaann elektrik bagi suku pertama 2010 meningkat 18.8 peratus berbanding dengan tempoh yang sama 2009. - Bernama

0 comments: