Followers

Tuesday, May 11, 2010

Kastam Kedah rampas 16kg heroin

BUKIT KAYU HITAM: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kedah merampas lebih 16 kilogram (kg) dadah jenis heroin bernilai hampir RM500,000 dan menahan seorang lelaki tempatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di sini, Sabtu lalu.
Pengarahnya, Saadon Mohd Dros, berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan ketika melalui pemeriksaan rutin oleh kastam dan menemui dadah berkenaan seberat 16.135 kg yang disorokkan dalam beg pakaian.

Lelaki terbabit yang memandu kereta ditahan ketika cuba memasuki negara ini dari Thailand pada kira-kira jam 12 tengah hari, Sabtu lalu.
"Hasil pemeriksaan rutin, anggota kastam memenui beg pakaian yang sarat dengan muatan 41 ketul serbuk putih mampat yang disimpan dalam but kereta Proton Wira.

"Ujian air kencing yang dilakukan ke atas lelaki itu mendapati dia positif mengambil dadah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

0 comments: