Followers

Tuesday, May 11, 2010

PM umum langkah kukuhkan perlindungan pengguna kewangan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan cadangan mengukuhkan perlindungan pengguna kewangan di mana had deposit insurans akan ditingkatkan kepada RM250,000, berkuat kuasa 2011.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, berkata yang perdana menteri berhasrat meningkatkan pakej perundangan bagi tujuan memperkukuhkan perlindungan konsumer kewangan untuk rakyat Malaysia.

Kementerian itu berkata, yang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) akan mengemukakan satu rang undang-undang bagi membolehkan kerajaan meningkatkan had insurans deposit.
"Pakej perundangan itu dijangka akan dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan dan diluluskan sebagai enakmen sebelum akhir tahun ini," katanya.

Katanya, yang PIDM juga akan memperkenalkan Skim Pampasan Insurans (ICS) yang jelas beserta perundangannya untuk pemegang polisi insurans dan takaful.

"Ia adalah untuk memastikan pemegang polisi insurans dan takaful menikmati tahap perlindungan konsumer yang sama dengan perlindungan yang diberikan oleh PIDM terhadap para penyimpan di bank perdagangan dan bank Islam.

"Ini jelas menunjukkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuhkan perlindungan konsumer kewangan untuk rakyat Malaysia dan memelihara keyakinan awam terhadap sistem kewangan Malaysia," katanya.
Kementerian itu berkata, memandangkan jaminan deposit kerajaan akan berakhir pada akhir tahun ini seperti yang dijadualkan, pengukuhan perlindungan konsumer melalui pakej ini dapat terus menyediakan lebih perlindungan untuk penyimpan.

"Berdasarkan had yang baharu ini, 99 peratus daripada penyimpan akan dilindungi sepenuhnya," katanya.

Kementerian berkata, skim pampasan insurans yang dicadangkan itu akan ditadbir oleh PIDM dan akan memberikan taraf yang sama di antara industri perbankan dan insurans serta menggalakkan daya saing yang adil kerana pemegang polisi dan penyimpan dalam kedua-dua industri berkenaan memperolehi perlindungan.

"Skim Pampasan Insurans ini akan memperkukuhkan dan menyumbang kepada keyakinan konsumer kewangan dan seterusnya, menggalakkan permintaan konsumer terhadap produk insurans dan takaful," katanya.

Katanya, PIDM akan mengadakan rundingan dengan pemegang kepentingan mengenai ciri-ciri utama Skim Pampasan Insurans ini sebelum mengusulkan cadangan berkenaan kepada kerajaan. - Bernama

0 comments: