Followers

Tuesday, May 11, 2010

Ekonomi membangun Asia disaran tumpu permintaan domestik

KUALA LUMPUR: Dengan ketidakseimbangan global kini semakin mengendur, ekonomi membangun Asia termasuk Malaysia perlu lebih banyak menumpukan kepada domestik, dan mengurangkan pergantungan kepada permintaan eksport untuk terus mencapai pertumbuhan kukuh di masa depan, kata seorang pakar ekonomi.
Cabaran yang muncul akan memberi desakan bukan hanya ke atas dasar monetari dan fiskal tetapi juga kepada dasar kadar pertukaran, kata Ketua Pakar Ekonomi Allianz Group, Michael Heise.

"Bagi Malaysia, ia perlu menumpu untuk menambah baik keadaan bagi menarik pelaburan," katanya pada satu taklimat media hari ini.
Beliau mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.5 peratus tahun ini, selepas menguncup sebanyak 1.7 peratus dalam terma sebenar tahun lalu.

Bagaimanapun, menurut Heise, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyusut kepada 4.5 peratus pada 2011, disebabkan sebahagiannya daripada penarikan balik pakej rangsangan fiskal.

"Sebaik saja pakej rangsangan berakhir pada akhir 2010, ekonomi-ekonomi Asia sepatutnya kembali semula kepada dasar fiskal mampan yang kebanyakan daripada mereka berusaha melaksanakannya sebelum krisis kewangan dan ekonomi berlaku," katanya.

Beliau berkata, pengukuhan ringgit yang sejajar dengan penilaian semula mata wang Asia lain, juga akan menyokong ekonomi Malaysia kerana ini akan meningkatkan kuasa beli, merangsang penggunaan, permintaan domestik serta pelaburan.
Mengulas kesan krisis hutang Greece, beliau berkata, kesan penularan ke negara lain tidak diwajarkan pada asasnya tetapi lebih didorong oleh spekulasi.

"Pasaran-pasaran terlebih reaksi dan tidak melihat kepada fundamental. Bagaimanapun, tiada alasan untuk panik," katanya.

Heise berkata, disebabkan oleh krisis itu, terdapat kesedaran bagi negara terutamanya dalam zon euro untuk membuat perubahan dasar utama yang akan membawa kepada penstabilan jangka panjang.

Beliau menjangkakan euro mengukuh dalam tempoh jangka panjang berbanding mata wang utama lain. - Bernama

0 comments: