Followers

Thursday, June 3, 2010

Tiada laporan pelajar hamil luar nikah di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pelajaran Terengganu (JPT) tidak menerima sebarang maklumat mengenai terdapat pelajar sekolah di negeri ini yang hamil dan melahirkan anak luar nikah sejak pertengahan tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata JPT telah diminta untuk menyiasat perkara itu yang dilaporkan media hari ini.
"Namun setakat ini kita tidak dapat apa-apa maklumat perkara seumpama itu berlaku," katanya.
Beliau mengulas laporan akhbar yang menyebut terdapat empat pelajar sebuah Sekolah Menengah di daerah ini yang melahirkan anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelaki masing-masing sejak pertengahan tahun lalu.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, seramai 16 lagi pelajar sekolah itu kini disahkan mengandung.

Sambil menyifatkan kes itu sebagai serius jika benar berlaku, Ahmad Razif berkata tindakan tegas akan diambil terhadap sekolah yang cuba menyembunyikan perkara seumpama itu.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai seorang pelajar telah bersalin sebelum ini, namun pelajar berkenaan sudah pun berkahwin.
"Jika ada kes-kes lain, kita masih belum dapat secara rasmi, pihak sekolah kini sedang siasat," katanya.

Beliau berkata, kes yang serius seperti itu selalunya berada dalam pengetahuan Jabatan Pelajaran.

"Tetapi, pihak jabatan tidak ada maklumat seperti yang disebut dalam laporan itu.

"Bagaimanapun jika kes seperti itu benar-benar berlaku tetapi di luar sekolah, masyarakat diminta tidak terus menunding jari dan menyalahkan pihak sekolah, katanya. - BERNAMA

0 comments: