Followers

Thursday, June 3, 2010

Kekejaman Israel terbukti: Anifah

AMMAN: Sambil memuji keberanian 12 sukarelawan Malaysia menghadapi serangan tentera Israel semasa berada di atas kapal menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata kejadian itu telah membuka mata dunia mengenai rejim Israel.
Beliau berkata, bagi sesetengah masyarakat di Eropah, mereka mungkin tidak begitu simpati dengan penderitaan rakyat Palestin selama ini tetapi dengan serangan terhadap kapal misi bantuan ke Gaza Isnin lalu itu telah membuka mata, telinga dan fikiran mereka.
"Kita sangat berharap ia akhirnya akan membawa masa depan yang lebih cerah kepada penduduk di Gaza dan Palestin keseluruhannya.
"Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya sangat berbangga bahawa rakyat turut terbabit dalam usaha antarabangsa untuk memecah sekatan yang dikenakan di Gaza oleh rejim Zionis sejak tiga tahun lalu," katanya.

Anifah berkata demikian ketika bertemu sukarelawan terbabit di sini yang dibebaskan pihak berkuasa Israel pagi semalam.

Beliau dan ketua kumpulan sukarelawan itu, Noor Azman Muhamad Samsuddin, turut bercakap menerusi telefon dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang sedang berada di Laos untuk lawatan rasmi.

Noor Azman didengar memberitahu Najib apa yang berlaku semasa serangan itu selain mengucapkan terima kasih atas usaha kerajaan membebaskan sukarelawan Malaysia.
Anifah berada di Amman untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Jordan di atas bantuan mereka dalam manjamin laluan selamat kepada sukarelawan Malaysia yang ditahan bersama ratusan yang lain, keluar dari Israel.

Semasa pertemuan di kediaman Duta Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz, majlis kesyukuran diadakan untuk sukarelawan Malaysia yang dibebaskan dan tahlil kepada mereka yang terbunuh dalam serangan komando Israel ke atas kapal milik Turki, Mavi Marmara, itu.

Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan terkorban dalam serangan yang sekali gus menimbulkan bantahan masyarakat dunia, termasuk Malaysia.

Bagi pihak sukarelawan Malaysia pula, Noor Azman menceritakan kembali detik serangan itu kepada mereka yang berada di majlis berkenaan, dengan berkata versi Israel mengenai kejadian itu hanya pembohongan semata-mata.

Beliau turut menolak dakyah Israel bahawa mereka yang berada di atas kapal tersebut telah melakukan keganasan.

"Macam mana ini boleh berlaku apabila di antara mereka terdapat seorang bayi yang berusia dua bulan setengah dan mereka yang berumur melebihi 80 tahun.

"Tiada siapa yang akan membawa seorang bayi bersama jika berniat untuk melakukan keganasan kepada orang lain," katanya.

Noor Azman berkata, mereka bersyukur kerana setelah dibebaskan, pihak Israel telah dikeji dunia di atas perbuatan mereka itu.

Sementara itu, Anifah berkata usaha akan dilakukan untuk mendesak Israel supaya membayar ganti rugi kepada sukarelawan Malaysia.

Kebanyakan mereka hanya tinggal sehelai sepinggang apabila menyeberang sempadan masuk ke Jordan.

Kamera video petugas televisyen Astro Awani turut dirampas oleh pihak Israel.

"Kita akan meminta pakar hak asasi manusia kita untuk melihat bagaimana ia boleh dilakukan," katanya.

Anifah turut menyentuh keperluan mengadakan program khas bagi membolehkan 12 sukarelawan terbabit menceritakan semula kejadian di atas kapal Mavi Marmara itu kepada rakyat Malaysia.

"Mungkin terdapat rakyat Malaysia atau orang lain yang tidak sependapat dengan kita tentang rejim Zionis. Program seumpama itu diharap dapat mengubahnya," katanya.

Anifah turut mengingatkan pihak yang mahu menyertai misi kemanusiaan yang serupa di masa depan supaya terlebih dahulu memalumkannya kepada Kementerian Luar.

"Ini penting sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.

Kepulangan sukarelawan Malaysia itu ke tanah air sedang diuruskan. - Bernama

0 comments: