Followers

Thursday, June 3, 2010

H1N1: 14 peratus kes baru disahkan positif

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 kes baru positif virus Influenza A(H1N1) dikesan di seluruh negara, menjadikan keseluruhan kes sehingga kini ialah 14,864 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Beliau berkata, selain itu, kementerian juga mengenal pasti satu lagi kes kluster di SMK Jalan Bukit, Kajang, Selangor dan satu daripada empat kes penyakit serupa influenza (ILI) disahkan positif A (H1N1).
Kesemua mereka diberi rawatan antiviral sebagai pesakit luar.
"Terdapat sejumlah 64 kluster ILI yang masih aktif di seluruh negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, sebanyak 540 kes kini dirawat di hospital di seluruh negara dan daripada jumlah itu 45 orang atau 8.3 peratus disahkan positif H1N1.

Lima pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kesemua mereka adalah individu yang mempunyai faktor risiko, katanya.

Beliau berkata, tiada kematian baru dilapor akibat H1N1 dan jumlah kematian kekal 87 orang.
Dr Mohd Ismail berkata, memandangkan jangkitan Influenza A(H1N1) masih aktif di kebanyakan negara, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus itu seperti kemudahan kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan pelalian kepada kumpulan berisiko serta langkah-langkah pencegahan boleh melayari lawan web http://www.moh.gov.my atau http:h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/300. - Bernama

0 comments: