Followers

Thursday, June 3, 2010

Malaysia sedia bantu Laos dalam aspek modal insan

VIENTIANE: Malaysia akan membantu Laos dalam aspek melahirkan modal insan dan membangunkan atlit negara itu menerusi dua Memorandum Persefahaman (Mou) yang dimeterai antara kedua-dua negara hari ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Malaysia bersedia melatih tenaga akademik negara itu dalam soal mengurus sektor pengajian tinggi terutama dalam soal jaminan kualiti melalui memorandum kerjasama dalam bidang pengajian tinggi.
Beliau berkata ini sejajar dengan dasar kerajaan Laos yang memberi penekanan dalam soal membangunkan modal insan di kalangan rakyat negara itu. Selain itu,, ia juga meliputi soal penghantaran penuntut Laos mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di institusi pengajian tinggi di Malaysia.

“Laos juga boleh mempelajari pengalaman Malaysia sekiranya mereka mahu membabitkan sektor swasta dalam membangunkan modal insan kerana di Malaysia telah ada 45 institusi pengajian tinggi swasta dan beratus-ratus kolej swasta,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, satu kumpulan kerja akan dibentuk bagi mengenal pasti pelaksanaan pelan pembangunan modal insan yang boleh dilaksanakan.
m

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek pula berkata, kesungguhan yang ditunjukkan Laos dalam menganjurkan Sukan Sea pada Disember tahun lalu memperlihatkan bahawa kerajaan negara itu serius dalam soal mempertingkatkan keupayaan atletnya.
Beliau berkata, menerusi MoU dalam bidang sukan, Malaysia menawarkan tempat seperti di Kompleks Sukan Bukit Jalil bagi melatih atlet Laos mempersiapkan diri sebelum mengambil bahagian dalam kejohanan besar.

Katanya Malaysia juga bersedia membantu Laos terutamanya dalam aspek teknikal sekiranya negara itu berhasrat menganjurkan kejohanan sukan yang besar seperti Sukan Sea lepas di mana Malaysia membantu dalam aspek pengurusan sukan.

0 comments: