Followers

Thursday, June 3, 2010

Polis bongkar makmal ecstasy, tahan suami isteri

GEORGETOWN: Polis menahan sepasang suami isteri dan seorang remaja perempuan selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Sungai Nibong di sini yang didapati dijadikan sebagai makmal memproses dadah, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kon Meng, berkata bertindak hasil maklumat orang awam, polis membuat intipan terhadap rumah itu selama beberapa hari sebelum menyerbunya pada kira-kira 1 tengah hari kelmarin.
"Polis menahan seorang lelaki berumur 29 tahun yang bekerja sebagai juruteknik elektrik, dan isterinya yang berumur 25 tahun yang bekerja sebagai juruwang.
"Turut ditahan dalam serbuan itu ialah seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang bekerja sebagai ahli muzik yang dipercayai rakan kepada pasangan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selepas mengeledah rumah itu polis merampas pelbagai peralatan memproses dadah serta empat bungkus serbuk dadah jenis ecstasy seberat 5.7 kilogram yang dipercayai bernilai kira-kira RM171,000.

Gan berkata, antara perkakas pemerosesan dadah yang dirampas ialah botol berisi cecair kimia, dapur elektrik, acuan untuk membuat pil ecstasy, satu tukul kayu dan penimbang elektronik.

Beliau berkata, dadah itu dipercayai dipasarkan di sekitar Pulau Pinang dan negeri berhampiran.
Katanya, ketiga-tiga mereka ditahan reman sehingga 8 Jun ini dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

0 comments: