Followers

Wednesday, May 12, 2010

Program 'Melayu Bangkit' ditangguh

KUALA TERENGGANU: Program Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad bertemakan "Melayu Bangkit" yang dijadual diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, esok ini ditangguhkan ke tarikh lain selepas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pengarah Jabatan Integriti Terengganu, Arpin Draman, berkata program bersama bekas Perdana Menteri itu terpaksa ditangguhkan berikutan bantahan beberapa pihak yang tidak mahu ia diadakan pada 13 Mei.

"Kita sepatutnya mengadakan raptai jam 3 petang ini tetapi terpaksa membatalkan semuanya. Sebenarnya, inisiatif Jabatan Integriti mengadakan program ini dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) timbul selepas melihat ramai golongan muda Melayu terbabit dengan kes jenayah dan salah laku sosial serta moral.
“Program bertujuan membangkitkan kesedaran di kalangan generasi muda Melayu mengenai peranan mereka dalam menentukan hala tuju negara pada masa depan ditangguhkan selepas kita menerima nasihat Perdana Menteri yang disampaikan wakil Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kira-kira jam 2 petang,” katanya pada sidang media petang ini.

Akhbar hari ini melaporkan, MCA dan Pas membantah pemilihan tarikh 13 Mei iaitu ulang tahun peristiwa berdarah sebagai hari perhimpunan Program Melayu Bangkit di sini, dan menyifatkan tindakan itu boleh menjejaskan hubungan perpaduan antara kaum di negara ini.

Mengulas lanjut, Arpin berkata, tarikh 13 Mei yang dipilih pihaknya tidak langsung berkaitan dengan peristiwa berdarah seperti didakwa beberapa pihak, sebaliknya ia diputuskan selepas Dr Mahathir tidak mempunyai kelapangan pada tarikh awal yang dijadualkan iaitu 11 Mei.

"Tarikh 13 Mei tidak ada makna apa-apa bagi penganjuran program ini. Tarikh asal dicadangkan ialah 11 Mei, tetapi Dr Mahathir tidak lapang pada hari itu, begitu juga dengan Menteri Besar menyebabkan kita ubah kepada 13 Mei.
Bagaimanapun, saya harap isu ini tidak diperbesarkan kerana pihak yang membuat provokasi tidak tahu pengisian sebenar program ini," katanya.

0 comments: