Followers

Wednesday, December 9, 2009

Potensi pelaburan keseluruhan misi melonjak kepada RM8.145 bilion

OSAKA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata misi pelaburan khas selama empat hari ke Osaka dan Tokyo berjaya menarik keseluruhan potensi pelaburan RM8.145 bilion.

Timbalan Perdana Menteri berkata, potensi pelaburan dari pertemuannya dengan kapten industri di Osaka adalah RM585 juta.

“Pelaburan itu dijangka tiba di Malaysia di dalam tempoh suku tahun akan datang dan bagi memulakan projek," katanya, sambil menyatakan bahawa dalam tempoh jangka panjangn terdapat banyak syarikat dari rantau ini berminat melabur di Malaysia, yang bakal membawa masuk lagi RM2.6 bilion.

Sebelum itu, beliau mengumumkan bahawa misi ke Tokyo menghasilkan potensi pelaburan RM4.96 bilion.

Daripada potensi pelaburan RM585 juta yang dijangka masuk di dalam tempoh sederhana, katanya RM515 juta adalah pelaburan bagi pengeluaran komponen elektrik dan elektronik manakala yang lain ialah bagi biofuel, loji panel solar dan biomas.

”Dengan itu, misi ini adalah satu kejayaan," katanya kepada pemberita selepas menemui kapten industri di Osaka, Jepun, yang pada segi sejarahnya merupakan ibu negara komersil Jepun dan pusat kawasan metropolitan terbesar Jepun, Keihanshin (Osaka-Kobe-Kyoto).

Sambil menjelaskan mengenai pertemuan awal, katanya sebahagian besar syarikat yang menghadiri mesyuarat meja bulan telah pun mempunyai kilang di Malaysia dan mempunyai rancangan untuk diperbesarkan.

“Mereka melihat Malaysia sebagai satu destinasi kritikal," katanya.

Sebagai contoh, katanya Panasonic Corporation, salah satu peserta pertemuan hari ini telah berada di Malaysia sejak lebih 40 tahun.

“Mereka berkata, mereka telah menutup operasi Indonesia dan mengembangkan operasi di Malaysia,” katanya, sambil menyatakan bahawa Panasonic merancang menjadikan Malaysia sebagai hub pengedarannya.

Katanya Malaysia mencadangkan Panasonic membawa ke Malaysia pusat penyelidikan dan pembangunannya, yang akan mengukuhkan lagi kehadirannya.

Pertemuan hari ini dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) manakala penganjur bersamanya ialah Dewan Perniagaan dan Industri Osaka, dengan disokong oleh Pusat Asean-Jepun, Kumpulan Kewangan Mizuho dan Persekutuan Ekonomi Kansai.

Antara syarikat yang hadir ialah Kaneka Corporation, Daihatsu Motor Co. Ltd, Mizuho Corporate Bank, Panasonic Corp, Nippon Electric Glass dan Sharp Corp. - Bernama

0 comments: