Followers

Wednesday, December 9, 2009

Konflik selatan Thailand masalah dalaman: Najib

BANGKOK: Menegaskan konflik di selatan Thailand adalah masalah dalaman dan negara itu perlu dibenarkan menggunakan model sendiri untuk menanganinya, namun Malaysia berpandangan keganasan adalah masalah yang serius yang tidak boleh dipandang ringan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Malaysia tidak bercadang untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman Thailand, tetapi bersedia untuk membantu negara jiran itu dalam apa juga cara yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak.

Ditanya jika anggaran 9,000 hingga 10,000 militan di tiga wilayah di selatan yang bersempadan dengan Malaysia akan memberikan ancaman serius kepada kedua-dua negara, Najib berkata ia pastinya satu masalah jika dibiarkan.

"Kita tidak tahu jumlah sebenar (militan), macam-macam angka diberikan. Tetapi ia adalah masalah serius kerana pembunuhan terus berlaku, letupan bom terus berlaku, dengan itu kita tidak boleh memandang ringan akan keseriusan masalah ini," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengetuai delegasi Malaysia ke Perundingan Tahunan Keempat dengan Thailand.

Katanya, Malaysia dan Thailand perlu menangani masalah itu tetapi katanya setakat ini tiada penglibatan elemen asing seperti kumpulan pengganas serantau Jemaah Islamiyah, dikesan terbabit.

Najib juga berkata, beliau akan tetap mengadakan lawatan ke Narathiwat seperti dirancang dengan rakan sejawatannya dari Thailand Abhisit Vejjajiva disebalik kejadian letupan bom malam tadi yang membunuh pasangan suami isteri dekat sebuah hotel yang menjadi tempat penginapan delegasi kedua-dua negara.

"Ya, Insyaallah. Saya tidak fikir pihak Thailand akan membenarkan apa-apa akan berlaku," katanya.

Najib adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama akan melawat ke wilayah bergolak itu.

Katanya, beliau yakin tuan rumah akan memastikan keselamatan pemimpin-pemimpin yang melawat negara mereka.

"Jika mereka fikir tidak selamat, mereka tidak akan benarkan lawatan diadakan," katanya.

Terdahulu, dalam sidang akhbar bersama dengan Abhisit selepas mesyuarat di Rumah Kerajaan, Najib berkata penduduk di selatan tidak sepatutnya menimbangkan untuk berpisah daripada kerajaan, tetapi kekal setia kepada negara, perlembagaan dan Raja.

"Pada masa yang sama, mereka sepatutnya dibenarkan untuk mengamalkan budaya dan agama mereka, serta menggunakan bahasa ibunda dan undang-undang Islam," katanya.

Najib berkata, beliau memaklumkan kepada Abhisit bahawa Malaysia bersedia memberikan bantuan kepada Thailand untuk menangani konflik itu yang telah meragut lebih 3,500 nyawa.

"Perdana Menteri memberikan penjelasan secara terus terang mengenai pemikiran dan strategi positif Thailand untuk membawa keamanan. Malaysia, sebagai rakan, akan menghormati ini sebagai masalah dalaman," katanya.

Mengenai cadangan beliau sebelum ini bahawa Bangkok patut menawarkan autonomi kepada tiga wilayah majoriti penduduk Islam iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala, Najib berkata tiada sebarang percanggahan mengenai perkara itu dengan Abhisit dan Malaysia sedia menerima sebarang model yang dicadangkan oleh Thailand.

Beliau berkata, model lain yang diguna pakai di selatan Filipina dan Acheh mungkin tidak sesuai bagi Thailand.

Sementara itu, Abhisit berkata kerajaan pimpinan beliau telah menggariskan pelan yang akan membolehkan bagi kuasa desentralisasi yang akan memberi lebih banyak peluang kepada penduduk setempat untuk memilih pemimpin mereka sendiri di peringkat wilayah dan daerah.

"Kami juga sedang berusaha untuk menarik baik dekri darurat dan menggantikannya dengan undang-undang khas," katanya sambil menegaskan kerajaan pimpinannya akan terus mengadakan perbincangan dengan penduduk setempat dan menolak kemungkinan mengadakan perbincangan dengan kumpulan pemisah berikutan tiada yang tampil mengaku bertanggungjawab bagi keganasan di situ.

Abhisit berkata, Malaysia bersedia untuk mempermudahkan komunikasi dengan penduduk setempat melalui pembinaan kapasiti, yang akan melengkapi penekanan kerajaan Thailand terhadap keadilan dan ekonomi bagi penduduk di sana.

"Kami menghantar isyarat yang kami sedang mengambil langkah-langkah penting bagi penyelesaian yang juga termasuk dimensi politik. Saya amat bersetuju yang kami perlu lakukannya dengan kadar segera, tetapi kami perlu mempunyai pendekatan yang dapat diterima dan tidak menjejaskan hubungan antara masyarakat di rantau ini dan dalam negara," katanya.

Diminta mengulas laporan akhbar di sini semalam bahawa beliau akan pulang ke tanah air dengan kekecewaan berikutan kurangnya kemajuan dalam menangani konflik di selatan, Najib berkata perkara itu tidak mungkin berlaku kerana beliau tahu yang masalah itu tidak dapat ditangani dalam jangka masa singkat.

Najib juga berkata, kedua-dua negara akan bertukar-tukar data biometrik untuk menangani isu dua kewarganegaraan dan menurutnya tidak terdapat data yang jelas pada ketika ini untuk menunjukkan jumlah individu yang memiliki kewarganegaraan kedua-dua negara.

Mengenai kerjasama ekonomi dan perdagangan, Najib berkata Thailand akan menghantar misi pelaburan ke Malaysia tahun depan untuk meningkatkan pelaburan.

Perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah AS$18.2 bilion pada 2008 berbanding AS$16.5 bilion pada 2007.

Najib juga berkata, terdapat perancangan untuk meningkatkan lagi kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara berjiran, termasuk menghubungkan koridor ekonomi di utara dan timur Malaysia dengan Zon Ekonomi Khas Selatan Thailand. - Bernama

1 comments:

Isma Ae Mohamad said...

salam,
tidak berjaya jika pemberontak dipinggir dalam sebarang rundingan