Followers

Monday, November 16, 2009

Projek bekalan elektrik di Sabah, Sarawak telus: Shafie

SEMPORNA: Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menafikan tuduhan bahawa pelaksanaan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Sabah dan Sarawak tidak telus.

Beliau menjelaskan proses pelaksanaan projek BELB di kedua-dua negeri berkenaan, termasuk tawaran kontrak kepada syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek itu, dibuat mengikut semua prosedur sedia ada.

"Saya sudah perjelaskan di Parlimen bahawa tuduhan pihak tertentu yang tidak bertangungjawab ini hanya cuba untuk memesongkan fakta dan pemikiran rakyat. Kita tahu bahawa kelulusan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan dikeluarkan sejak 2008 lagi.

"Daripada kelulusan itu, kita cuma menokok tambah dari segi penambahan syarikat yang terbabit (melaksanakan projek). Kalau dahulu hanya empat syarikat terbabit, sekarang ini sembilan syarikat.

"Kita nak pastikan syarikat yang terbabit ini tidak membolot semua kerja di peringkat negeri Sabah: dia juga buat jalan, dia juga buat (bekalan) air, dia juga buat kelapa sawit, pelancongan dan berbagai-bagai lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama rakyat di sini hari ini.

Beliau mengulas tuduhan pihak tertentu kononnya berlaku ketidak telusan dalam urusan pelaksanaan projek BELB di Sabah dan Sarawak termasuk dakwaan kononnya kontrak cuma diberikan kepada kroni tertentu.

Menurutnya langkah menambah bilangan syarikat yang ditawarkan kontrak projek BELB di Sabah dan Sarawak adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pelaksanaannya mencapai sasaran iaitu dapat dinikmati rakyat seperti yang digariskan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Yang dikatakan ada penyelewengan, itu tidak benar. Yang memutuskan ialah Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, kementerian saya, membabitkan ramai pihak yang tidak melibatkan saya pun," katanya.

Shafie berkata, beliau tidak menolak kemungkinan tuduhan tidak berasas yang dilontarkan kepadanya dibuat oleh pihak yang tidak mendapat kontrak atau ada motif politik untuk menjatuhkan sesiapa. - Bernama

0 comments: