Followers

Thursday, November 12, 2009

Isteri pemimpin berperanan mantapkan hubungan diplomasi: Rosmah

PUTRAJAYA: Isteri pemimpin negara juga mempunyai peranan tersendiri dalam membantu memantapkan ikatan jalinan diplomasi antara Malaysia dan Indonesia.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata ia sekaligus dapat membantu ikatan perhubungan kedua-dua negara tidak mudah diganggu gugat oleh isu kecil dan remeh.

"Sebagai negara jiran yang dekat akan sentiasa wujud pelbagai isu yang membabitkan rakyat kedua-dua negara.

"Walaupun isu itu perlu diatasi di peringkat kerajaan namun saya pasti ia tidak akan berjaya merenggangkan hubungan akrab yang sedia terjalin," katanya semasa berucap pada majlis ramah mesra bersama isteri Presiden Indonesia, Ani Yudhoyono, di Sri Satria di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah anggota kehormat Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Tun Rahah Mohd Noh dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Sementara itu, dalam ucapan balasnya, isteri Presiden Indonesia bersependapat dengan Rosmah bahawa sekiranya terdapat permasalahan antara Malaysia dan Indonesia ia tidak akan mengurangkan sedikit pun ikatan persaudaraan dan persahabatan kedua-dua negara.

"Perkara itu perlu kita perturunkan kepada semua rakyat kedua-dua negara termasuk di kalangan kaum wanita," katanya.

Ani berada di sini menemani suaminya, Susilo Bambang Yudhoyono yang mengadakan lawatan ke Malaysia selama dua hari bermula semalam.

Wanita Pertama Indonesia itu turut melahirkan rasa terima kasih terhadap keprihatinan Kerajaan Malaysia yang setiasa bersedia menghulurkan apa jua bantuan terhadap rakyatnya setiap kali negara itu dilanda bencana.

"Ucapan terima kasih juga kepada Malaysia di atas layanan baik yang diberikan kepada rakyat Indonesia yang bekerja mahu pun yang menuntut di sini (Malaysia)," katanya.

Ani turut berharap semua warga Indonesia yang bekerja di negara ini dapat bekerja dengan baik.

Beliau juga melahirkan rasa minat untuk berkongsi kegiatan dan pengalaman antara Bakti dengan persatuan Isteri Kabinet Indonesia. - Bernama

0 comments: