Followers

Thursday, November 12, 2009

H1N1: Calon, petugas SPM diminta berjaga-jaga

KUALA LUMPUR: Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta petugas yang mengawasi peperiksaan itu diminta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak jangkitan virus Influenza A(H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata ibu bapa semua calon peperiksaan SPM yang bermula 18 November ini perlu sentiasa memantau tahap kesihatan anak mereka serta memaklumkannya kepada pihak sekolah bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

"Petugas yang mengawasi peperiksaan itu pula diminta mengasingkan calon yang memiliki gejala "Influenza-Like Illness" (ILI) daripada pelajar yang sihat serta memastikan calon yang mempunyai pelajar kumpulan ini memakai topeng muka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga menasihatkan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga kebersihan diri serta kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun.

Beliau juga meminta pelajar yang mempunyai gejala ILI supaya segera memberitahu ibu bapa, penjaga, dan guru, agara tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mengelak sebarang kesulitan untuk menduduki peperiksaan.

Dr Mohd Ismail turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan atau mengabaikan langkah-langkah pencegahan Influenza A(H1N1) walaupun kebelakangan ini trendnya menunjukkan penurunan.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh seminggu lalu, 587 pesakit baru dengan gejala ILI dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 557 kes lagi dibenarkan pulang.

Katanya, setakat 7 November, jumlah kes ILI yang masih dirawat ialah 332 di 46 hospital dan daripada jumlah itu, hanya 15 pesakit disahkan positif Influenza A(H1N1).

Beliau berkata, dalam tempoh sama, hanya seorang pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi manakala empat kes masih menerima rawatan di situ kerana mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak bawah 5 tahun (2 kes), morbid obesiti (1 kes) dan penyakit kronik (1).

"Sehingga kini, jumlah kematian di seluruh negara akibat jangkitan itu kekal 77 orang," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh seminggu lepas, terdapat dua kejadian kluster ILI dilaporkan berlaku di Sekolah Kebangsaan LKTP Jerangau Barat, Hulu Terengganu, Terengganu dan Kampung Lubuk Chupak, Bukit Sapi, Lenggong, Perak.

"Keputusan ujian makmal terhadap sampel klinikal yang diambil secara rawak dari kejadian kluster di Sekolah LKTP Jerangau Barat, Hulu Terengganu menunjukkan positif Influenza A(H1N1)," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mohd Ismail berkata tindakan kawalan dan pencegahan yang sewajarnya sudah dilaksanakan oleh pihak pejabat kesihatan daerah terbabit.

Sementara itu pemantauan kejadian ILI di 619 klinik sentinel tidak menunjukkan sebarang peningkatan dan hanya 11 peratus daripada 818 sampel klinikal yang diterima makmal disahkan positif virus Influenza A(H1N1).

Di peringkat global pula sehingga 1 November lepas, Dr Mohd Ismail berkata lebih 482,300 kes yang disahkan positif, membabitkan 6,071 kematian.

"Pihak WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) juga melaporkan bahawa penularan Influenza A(H1N1) masih lagi aktif terutama sekali di negara-negara dalam zon beriklim sederhana di Hemisfera Utara seperti Amerika Utara, Kanada Barat, Eropah dan Asia," katanya.
- Bernama

0 comments: