Followers

Thursday, November 12, 2009

Najib, Hu saksi pemeteraian lima MoU

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Presiden China, Hu Jintao, hari ini menyaksikan penandatanganan lima Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara dalam beberapa bidang.

Majlis menandatangani MoU itu diadakan di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini.

MoU pertama ditandatangani antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Kawal Atur Perbankan China mengenai kerjasama pemantauan perbankan.

Malaysia diwakili oleh Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, manakala China diwakili oleh Presiden Suruhanjaya Kawal Atur Perbankan China, Liu Ming Kang.

MoU kedua ditandatangani antara Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Duta Tugas-tugas Khas dan Mutlak Republik Rakyat China, Liu Jian, mengenai kerjasama di dalam bidang pendidikan tinggi.

MoU ketiga membabitkan kerajaan Malaysia dan Beijing Enterprsie Water Group (BEWG) Ltd dari China mengenai kerjasama di dalam industri perkhidmatan perkumbahan.

Ia ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Dr Halim Man, dan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif BEWG, Zhang Hong Hai.

Najib dan Hu turut menyaksikan pemeteraian perjanjian tambahan berkaitan perjanjian pinjaman am mengenai penggunaan kredit pembeli keutamaan antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, dan Pengerusi dan Presiden Export Impot Bank China, Li Ruo Gu.

MoU yang terakhir ialah mengenai perjanjian pinjaman kredit pembeli keutamaan mengenai projek jambatan kedua Pulau Pinang.

Ia ditandatangani oleh Pengerusi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, dan Li Ruo Gu.

Sebelum itu, semasa menyampaikan ucapan pembukaan, Najib berkata lawatan dua hari Hu ke Malaysia melambangkan hubungan dua hala 35 tahun antara kedua-dua negara.

Katanya, kedua-dua negara tidak dapat membayangkan dua perkara penting akan berlaku di masa depan, semasa menjalin hubungan diplomatik 35 tahun lalu.

"Yang pertama, kita tidak dapat membayangkan bagaimana berjayanya China satu hari nanti," katanya sambil memuji Presiden Hu kerana kejayaan itu.

Najib turut menyatakan bahawa hubungan dua hala telah mekar sejak itu dan meningkat menjadi sangat penting, strategik dan komprehensif.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu lawatan Hu itu menjadi bukan sahaja satu adat istiadat tetapi juga sesuatu yang amat bermakna.

"Saya ingin mengemudikan hubungan dua hala ini ke paras yang lebih tinggi," katanya. - Bernama

0 comments: