Followers

Thursday, November 12, 2009

251 terima pingat, darjah kebesaran

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini mengurniakan pingat dan darjah kebesaran kepada 251 penerima di Istana Negara, sempena ulang tahun keputeraan baginda pada 6 Jun.

Mengetuai senarai ialah Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Mohd Basri Wahid, yang antara penerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

Lima lagi yang menerima PJN hari ini ialah Ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Norah Tun Abdul Rahman; ahli Lembaga Disiplin Umno, Datuk Mohd Zihim Mohd Hassan; pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Emiritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi; Pengerusi Lembaga Pengurusan Impact, Datuk Mohd Noor Amin Mohd Noor Khan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Innovation Associates Consulting Sdn Bhd, Datuk Dr Md Hamzah Md Kassim.

Tiga orang pula menerima darjah PJN Kehormat yang membawa gelaran Datuk iaitu Pengurus Besar Convex Malaysia Sdn Bhd, Datuk Peter R Brokenshire; Ketua Eksekutif Kumpulan Cahya Mata Sarawak Bhd, Datuk Syed Ahmad Alwee Alsree; dan Profesor Datuk Dr Eric Tan, seorang doktor dari Australia.

Sementara itu, tujuh orang menerima Johan Mangku Negara (JMN), 16 orang menerima Johan Setia Mahkota (JSM), 61 orang menerima Kesatria Mangku Negara (KMN), 70 orang menerima Ahli Mangku Negara (AMN) dan 88 orang menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN).
- Bernama

0 comments: