Followers

Wednesday, October 14, 2009

Bangkok tolak isu sempadan ke sidang Asean


tentera thailand mengawal kawasan sempadan berhampiran kuil Preah Vihear.

Akhbar salah petik menteri dalam membuat saranan itu

BANGKOK: Thailand semalam menolak cadangan membawa isu pertikaian sempadan dengan Kemboja ke sidang kemuncak Asean akan datang, sebaliknya berkata ia perlu diselesaikan secara rundingan dua hala.

Kemboja kelmarin mencadangkan negara jirannya, Thailand menjadikan isu pertikaian sempadan yang turut menyaksikan pertempuran tentera kedua negara jiran itu, sebagai agenda ketika menjadi tuan rumah sidang kemuncak Asean bulan ini.

Bagaimanapun seorang jurucakap kementerian luar Thailand berkata cadangan Kemboja itu berdasarkan kepada satu laporan tidak tepat dalam media Thailand.

Menteri luar Thailand, Kasit Piromya dilaporkan berkata minggu lalu beliau akan mendapatkan kelulusan di mesyuarat Asean untuk mewujudkan satu badan bebas bagi membantu menyelesaikan pertikaian Thailand-Kemboja itu.

Bagaimanapun ia disalah petik dan terkeluar konteks dari perbincangan yang dilakukan beliau awal bulan ini mengenai isu Thailand-Kemboja itu, kata Thani Thongphakdi dari kementerian terbabit.

“Thailand akan terus mendapatkan penyelesaian secara aman masalah itu melalui rundingan dua hala di bawah rangka kerja suruhanjaya sempadan bersama Thailand-Kemboja,” katanya kepada AFP.

“Kami percaya isu ini tidak perlu dibawa ke peringkat antarabangsa atau dibangkitkan dalam rangka kerja Asean.”

Pertikaian berkenaan fokus terhadap kawasan tanah di sekitar kuil Preah Vihear kurun ke-11 di mana pertempuran membunuh tujuh askar sejak ketegangan membabitkan kedua negara jiran itu tercetus tahun lalu.

Kemboja dan Thailand sejak sekian lama berhadapan dengan masalah pertikaian tanah itu tetapi ketegangan memuncak selepas keganasan Julai tahun lalu berikutan kuil berkenaan dianugerahkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.

Mahkamah dunia pada 1962 memerintahkan bahawa ia adalah milik Kemboja.

Askar dari Kemboja dan Thailand terus mengawal kawasan terbabit di mana pertempuran senjata terakhir berlaku berhampiran kawasan kuil itu membunuh tiga orang April lalu. - AFP

0 comments: