Followers

Wednesday, October 14, 2009

Bekas pemandu PM pertama, kedua meninggal dunia

ALOR SETAR: Bekas pemandu kepada Perdana Menteri Pertama dan Kedua, Md Akhir Mohd Noor, 84, meninggal dunia di rumah anak angkatnya, di Jalan Makam Diraja Langgar, dekat sini, pagi tadi.

Md Akhir yang pernah menjadi pemandu kepada Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia selepas koma selama tujuh hari berikutan cedera parah di kepala kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya berhampiran Balai Polis Langgar, dekat sini Rabu lalu.

Beliau pernah berkhidmat Tunku Abdul Rahman pada 1960-an sebelum berkhidmat pula dengan Abdul Razak selama sembilan tahun mulai 1967 hingga 1976.

Selepas berhenti menjadi pemandu Perdana Menteri Kedua, Md Akhir dikatakan merantau ke negeri ini dan tinggal di Pantai Jamai, Langgar, dekat sini dan hidup sebatang kara.

Anak angkat Allahyarham, Rohani Othman, 57, berkata, arwah menghembuskan nafas terakhir di sisinya pada jam 7.30 pagi di rumahnya di sini selepas doktor mengesahkan dia tidak dapat diselamatkan akibat kecederaan serius dialaminya.

"Sepanjang menjaganya, air mata arwah kerap mengalir seolah-olah dia tahu ajalnya sudah tiba tapi hasratnya untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak tercapai walaupun arwah pergi ke kediaman Perdana Menteri seminggu sebelum Aidilfitri.

"Arwah tidak mempunyai anak hasil perkahwinannya sebelum ini tetapi mempunyai dua anak angkat termasuk saya dan dua anak tiri namun dia lebih banyak menghabiskan masa bersama saya sepanjang hayatnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Mati, Langgar, selepas solat Asar hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Umno Bahagian Pokok Sena, Ramli Mohd Yunus berkata, beliau mewakili pejabat Perdana Menteri di Putrajaya untuk menyampaikan ucapan takziah dan sumbangan untuk urusan pengebumian kepada keluarga arwah.

Beliau berkata, sumbangan arwah sebagai pemandu kepada dua bekas Perdana Menteri sebelum ini amat dihargai.

0 comments: