Followers

Wednesday, October 14, 2009

Kementerian tumpu pembangunan modal insan Orang Asli dalam RMK-10

KUALA LUMPUR: Pembangunan ekonomi dan pendidikan Orang Asli akan terus menjadi fokus Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam mengurangkan kadar miskin tegar dan miskin di kalangan masyarakat itu.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek, berkata kementerian dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) merangka bentuk pembangunan yang akan dijalankan menjelang Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) tahun depan.

"Projek Agropolitan Bersepadu akan dimajukan secara luas di penempatan Orang Asli dalam Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) di mana mereka boleh bercucuk tanam dan menjual hasil tanaman mereka dengan mudah kerana mereka hanya menjalankan aktiviti itu dalam kawasan penempatan mereka.

"Selain itu dari segi pendidikan, sekolah turut dibina dalam kawasan penempatan mereka bagi memastikan kanak-kanak di dalam kelompok ini tidak ketinggalan mendapat ilmu seperti kanak-kanak lain," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis sambutan Aidilfitri bersama masyarakat Orang Asli di Gombak, di sini hari ini.

Selain itu, katanya kementerian akan turut membangunkan sektor pelancongan di kawasan penempatan Orang Asli menjelang tahun depan.

Hasan berkata projek berskala besar itu akan dijalankan secara bersepadu seperti yang dibuat di Kuala Betis, Kelantan dan Kampung Pantos, Pahang, sebelum ini.

Sementara itu menurut statistik yang dikeluarkan JHEOA, kadar miskin tegar dan miskin mencatat penurunan apabila beberapa program dijalankan bagi mencapai matlamat itu seperti program bimbingan usahawan dan program bantuan rumah.

Awal tahun lalu sebanyak 13,945 keluarga Orang Asli berada dalam kelompok miskin tegar dan miskin.

Jumlah itu mencatatkan penurunan kepada 6,749 keluarga April lalu. - Bernama

0 comments: