Followers

Thursday, October 8, 2009

PM lancar Majlis Kembara Penjagaan Kesihatan Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijadual melancarkan Majlis Kembara Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) pada Disember yang antara lain bertujuan meletakkan Malaysia sebagai hab penjagaan kesihatan di rantau ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pada peringkat awal majlis itu akan ditubuh sebagai satu jabatan di kementerian dan bertanggung jawab kepada satu jawatankuasa penasihat.

"Jawatankuasa penasihat yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop akan memulakan tugas pada 16 Oktober ini.

"Bagi memastikan kejayaannya, kerajaan bekerjasama erat dengan sektor swasta bagi mengukuhkan industri penjagaan kesihatan terutamanya bagi pelancongan kesihatan.

"Kita mempunyai keupayaan dan banyak sumber. Institut Jantung Negara (IJN) dan hospital-hospital swasta di Malaysia semuanya mempunyai kemudahan lengkap dan berupaya untuk memberikan khidmat terbaik dalam industri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Liow berkata, sektor pelancongan kesihatan pada masa ini menyumbang sejumlah RM300 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kementerian mensasarkan industri berkenaan untuk menyumbang lebih RM1 bilion KDNK. - Bernama

0 comments: