Followers

Thursday, October 8, 2009

Paris-KL kerjasama bidang baru


Najib Tun Razak berjabat tangan dengan Francois Fillon semasa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Perancis itu di Paris, semalam. – BERNAMA


PARIS 7 Okt. – Perancis mahu hubungan dua hala dengan Malaysia terus diperkukuhkan dengan kedua-dua negara mencerna bidang-bidang baru antaranya melibatkan pengurusan sisa buangan, pengangkutan darat dan tenaga nuklear.

Mengulas hasil pertemuan dengan Perdana Menteri Perancis, Francois Fillon di sini semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kuasa nuklear di Eropah itu juga berharap hubungan sedia ada dalam bidang pertahanan dan pelancongan dapat diteruskan.

Katanya, dalam pertemuan di pejabat Fillon di Hotel Matignon itu, beliau turut membangkitkan hasrat AirAsia untuk mendapatkan hak pendaratan di Lapangan Terbang Orly di sini atas pertimbangan syarikat penerbangan tambang murah negara itu merupakan pembeli utama di dunia untuk pesawat Airbus A320.

‘‘Beliau (Fillon) menyatakan AirAsia telah ditawarkan hak pendaratan di luar Paris dan untuk Paris, ia akan kaji permohonan syarikat penerbangan ini.

‘‘Selain itu kita turut berbincang mengenai cabaran untuk membentuk kerangka kewangan global yang baru, konflik nuklear Iran dan kedudukan Myanmar. Ini ditanyakan beliau kepada saya dan saya telah memberi penjelasan berhubung pendirian Malaysia dalam perkara ini,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Pertemuan dengan Fillon adalah antara jadual padat yang dipenuhi Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke negara ini.

Perancis ialah rakan ketiga terbesar Malaysia dari Kesatuan Eropah (EU) sementara Malaysia ialah rakan dagangan kedua terbesar Perancis dari ASEAN dengan dagangan dua hala sekitar 4.0 bilion euro setahun.

Tahun lepas, eksport Malaysia ke Perancis bernilai 1.8 bilion euro sementara import berjumlah 1.6 bilion euro.

Fillon, kata Najib, turut memberitahu bahawa hampir 90 peratus bekalan elektrik di Perancis disalurkan menerusi tenaga nuklear.

Ditanya sama ada Malaysia bercadang menjadikan nuklear sebagai sumber tenaga baru, Perdana Menteri berkata, tumpuan kini adalah untuk meningkatkan bekalan tenaga elektrik daripada tenaga hidro dan solar.

‘‘Memang ada asas yang kuat untuk kita membangunkan loji tenaga nuklear sebagai sumber bekalan tenaga elektrik tetapi ia mengambil masa untuk diputuskan, bukannya serta-merta,” kata beliau.

Mengenai penggunaan projek hidroelektrik Bakun yang dikatakan terlalu mahal, beliau berkata, ia kini sedang dikaji sama ada bekalan sumber tenaga dari projek itu boleh disalurkan untuk Semenanjung atau terhad di Sarawak.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, konsep 1Malaysia kian menjadi jenama perpaduan nasional yang utuh sehingga tidak timbul kritikan daripada mana-mana pihak termasuk parti-parti pembangkang.

‘‘Tidak ada persoalan mengenai gagasan itu termasuk elemen-elemen yang cuba mencela Jalur Gemilang,” katanya. – UTUSAN

Add to Google

0 comments: