Followers

Thursday, October 8, 2009

Undang-undang pencegahan 18 negara dikaji

PUTRAJAYA: Kerajaan membuat kajian perbandingan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan undang-undang pencegahan dari 18 buah negara termasuk Amerika Syarikat dalam usahanya meminda ISA.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata negara berkenaan termasuklah Singapura, Australia, Tanzania, Brunei, India, United Kingdom, Thailand, Bangladesh, Ireland, Ghana, Uganda, Timor Leste, Korea Selatan, Macau, Bahrain dan Sri Lanka.

"Bagi Amerika Syarikat undang-undang pencegahan yang dikaji ialah Patriot Act 2001 dan Homeland Security Act 2002," katanya, sambil menambah kata bahawa akhirnya ISA akan dipinda mengikut acuan negara ini sendiri.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini, beliau berkata hasil perbincangan kementerian dengan badan bukan kerajaan, ahli akademik dan orang ramai, tiada pihak yang mahukan ISA dimansuhkan.

"Mereka mahukan ISA dikekalkan bagi menjamin keselamatan negara dan rakyat tetapi dipinda bagi ditambahbaik lagi termasuk di sudut menjaga hak asasi manusia dan ketelusan," katanya.

Abu Seman berkata, perbincangan akan terus diadakan sebelum pindaan akta itu dibentangkan pada sesi Parlimen bulan ini.

Mengenai ancaman Benteng Dekomrasi Rakyat (Bendera) dari Indonesia yang sentiasa membawa buluh runcing ketika berdemonstrasi kononnya mahu menyerang Malaysia hari ini, beliau berkata:

"Buluh runcing tak ada. Yang ada buluh yang digunakan oleh nelayan untuk menangkap ikan di perairan negara."

Beliau berkata, pasukan keselamatan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan walaupun setakat ini tiada maklumat serangan itu akan berlaku. - Bernama

0 comments: