Followers

Thursday, August 6, 2009

Sabah&Sarawak: Pandangan negatif bidang pertanian perlu dikikis

KUALA PENYU: Rakyat negeri ini digesa mengikis pandangan negatif terhadap bidang pertanian yang sering dikaitkan dengan masalah kemiskinan dan tanggapan bahawa pembabitan dalam sektor itu tiada jaminan masa depan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin, berkata pandangan itu tidak seharusnya wujud kerana sektor pertanian mempunyai potensi besar sebagai sumber ekonomi utama rakyat negeri ini.

Katanya, rakyat perlu sedar bahawa bidang pertanian mampu memberikan pulangan lumayan kepada mereka jika diusahakan dengan betul kerana kegiatan pertanian penting untuk membekalkan bahan makanan.

"Jika sektor ini diusahakan dengan betul dan terancang, ia pasti menghasilkan pendapatan lumayan kepada pengusahanya. Justeru, rakyat perlu melihat sektor ini sebagai bidang berdaya maju untuk meningkatkan taraf sosioekonomi.

"Pada masa sama, rakyat seharusnya menyahut seruan kerajaan untuk membangunkan sektor pertanian," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Penyu, di sini.

Sejak ditubuhkan pada 2004, PPK Kuala Penyu kini mempunyai kira-kira 1,000 ahli.

Hadir sama, Pengerusi PPK Kuala Penyu, Zahari Mohd Zinin; wakil Pendaftar Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Herdyiony Wirma dan Naib Ketua Umno Beaufort, Datuk Kimjus Duim.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, kerajaan memberikan perhatian serius memajukan sektor pertanian bukan saja sebagai ejen pertumbuhan ekonomi negara, malah satu usaha meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat khususnya di luar bandar.

0 comments: