Followers

Thursday, August 6, 2009

H1N1: 3 lagi kematian dilaporkan

KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga hari ini, menjadikan keseluruhan 11 kematian dengan 1,476 kes dilaporkan di seluruh negara setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata ketiga-tiga kes kematian itu berlaku di Hospital Melaka.

Katanya, kes kematian kesembilan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang mempunyai sejarah jangkitan saluran pernafasan kronik.

"Beliau dimasukkan ke Hospital Melaka Jumaat lalu dan disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada jam 6.19 petang Ahad dan meninggal dunia pada jam 4.30 petang kelmarin dengan diagnosa jangkitan virus H1N1 dengan radang paru-paru teruk," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, kes kematian ke-10 pula membabitkan remaja lelaki berumur 12 tahun dengan kegagalan buah pinggang kronik dan sedang menjalani rawatan dialisis.

Katanya, pesakit dimasukkan ke Hospital Melaka kelmarin dengan simptom demam, batuk dan sesak nafas sejak semenjak 1 Ogos 2009 dan disahkan positif H1N1 semalam.

"Pesakit meninggal dunia pada jam 2 petang kelmarin disebabkan jangkitan radang paru-paru teruk," katanya.

Beliau berkata, kes kematian ke-11 pula membabitkan seorang lelaki berusia 20 tahun dengan kronik asma yang dimasukkan ke Hospital Melaka pada Ahad lalu dengan simptom demam, batuk dan sesak nafas sejak Jumaat lalu.

"Beliau terus dimasukkan ke unit rawatan rapi dan disahkan mengalami radang paru-paru teruk. Pesakit meninggal dunia pada 3 Ogos 2009 jam 2.30 pagi dan disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada 4 Ogos 2009 jam 5.50 petang," katanya.

0 comments: