Followers

Thursday, August 6, 2009

Sabah&Sarawak: Sistem pengangkutan bandar raya, Sandakan diperkemas

RM83 juta diperuntuk kerajaan Persekutuan memantapkan perkhidmatan

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM83 juta bagi memantapkan sistem pengangkutan awam di bandar raya ini dan Sandakan termasuk RM63 juta untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam melalui Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam membabitkan empat projek utama di bandar raya ini.

Peruntukan berkenaan digunakan untuk membina Terminal Rangkaian Selatan Kepayan bernilai RM50 juta dan menaik taraf Terminal Plaza Wawasan (RM5 juta) serta membina empat rangkaian terminal dalam bandar dan tempat mengambil serta menurunkan penumpang (RM5 juta) dan RM3 juta untuk pembinaan tempat perhentian bas dan teksi membabitkan peruntukan RM3juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata peruntukan itu akan salurkan secepat mungkin, selain peruntukan RM17.5 juta bagi membina terminal bas berpusat di Sandakan dan RM3 juta menaik taraf Terminal Bas Plaza Wawasan di sini.

"Peruntukan ini membuktikan kerajaan Persekutuan prihatin terhadap kualiti hidup masyarakat di Sabah," katanya pada sidang media selepas melawat Terminal Bas Plaza Wawasan, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan; Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) negeri, Datuk Edmund Chung Ket Wah dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim.

Nazri juga berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) harus mencontohi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam mengurus sistem pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan di bandar raya.

Ia kerana, katanya, sistem pengangkutan berpusat dan kod laluan khas yang diamalkan DBKK menjadikan bandar raya ini bebas daripada kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata, walaupun sistem itu baru diamalkan tiga tahun lalu, ia menampakkan kesan positif kepada penumpang kenderaan awam dan pemandu kenderaan persendirian.

"Ia berbeza dengan DBKL kerana tiada sistem khusus untuk bas keluar masuk di bandar raya. Sebaliknya, semuanya bertumpu di Puduraya," katanya.

Terdahulu, Nazri mendengar rintihan pemandu dan penumpang bas di terminal berkenaan bagi membantu mengatasinya.

Beliau turut menaiki bas dari terminal berkenaan ke Hotel Hyatt Regency dengan membayar tambang 50 sen.

0 comments: