Followers

Monday, July 6, 2009

H1N1: USM nafi tutup sebuah pusat pengajian

GEORGETOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) menafikan bahawa ia akan menutup sebuah pusat pengajiannya berikutan wabak influenza A (H1N1).

Pemangku Naib Canselornya, Profesor Omar Osman, berkata pihaknya tidak menutup mana-mana pusat pengajian sebaliknya aktiviti dalam kampus termasuk proses pembelajaran berjalan seperti biasa.

"Keadaan di USM terkawal dan pelajar serta ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kita sudah mengambil beberapa langkah berjaga-jaga selepas seorang peserta dari negara jiran yang menyertai Simposium Rantau Asia Pasifik (APPS 2009) anjuran Pusat Pengajian Sains Farmasi disahkan positif H1N1 baru-baru ini.

"Peserta berkenaan sudah dikuarantin di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala 120 pelajar USM yang terbabit dalam simposium itu dihubungi untuk tidak kembali ke kampus dan mengadakan kuarantin di rumah bagi menanganinya," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini, kononnya USM akan menutup sebuah pusat pengajian berikutan terdapat peserta yang mengikuti simposium anjuran USM dijangkiti H1N1.

Omar berkata, kesemua penuntut yang terbabit dalam simposium itu diberikan kebenaran oleh USM untuk menyambung pengajian pada 13 Julai ini dan pihak universiti akan menyusun semula jadual pembelajaran bagi memenuhi keperluan kursus mereka.

"Proses pembelajaran di Pusat Pengajian Sains Farmasi berjalan seperti biasa dan hanya mereka yang terbabit saja diberikan penangguhan kelas sehingga 13 Julai ini," katanya.

Katanya, semua tindakan yang diambil USM adalah mengikut prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi memastikan tiada jangkitan berlaku di dalam kampus.

Selain itu, beliau berkata, pihak universiti juga membuka kaunter khas bagi memberi maklumat serta nasihat kepada penuntut termasuk menyediakan dua talian hotline 24 jam iaitu 04-6534948 dan 04-6534938 untuk sebarang pertanyaan berhubung wabak berkenaan.

"Universiti juga sudah mengeluarkan peringatan kepada seluruh warga kampus supaya berhati-hati dengan wabak ini serta menangguhkan perjalanan ke luar negara terutamanya ke negara-negara yang terbabit secara langsung," katanya. - Bernama

0 comments: