Followers

Monday, July 6, 2009

Sabah&Sawarak: Sedia pelan tangani tumpahan minyak

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyediakan pelan menangani tumpahan minyak di perairan negeri ini berikutan peningkatan jumlah kapal dagang yang menggunakan perairan berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman, berkata bencana berkenaan boleh berlaku pada bila-bila masa sama ada akibat pelanggaran kapal atau kecuaian manusia dan memerlukan pelan pembersihan komprehensif.

“Kerajaan negeri bimbang bencana itu ia akan merosakkan kawasan perairan sensitif kerana kebanyakan perairan di negeri ini dikategorikan sebagai Taman Laut.

“Perairan Sabah berisiko tinggi menghadapi bencana tumpahan minyak kerana ia digunakan sebagai laluan kapal dagang. Jika bencana itu berlaku, ia memberi kesan buruk terhadap nelayan, industri pelancongan dan ekosistem marin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup latihan pembersihan pantai akibat tumpahan minyak peringkat negeri, di pantai Teluk Likas, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah JAS Sabah, Abdul Razak Manap dan Pengarah JPAS, Yabi Yangkat.

Sukarti berkata, persediaan bagi menghadapi kemungkinan bencana itu perlu dibuat secara rapi bagi memastikan semua tindakan mengawal bencana mampu diselaraskan.

“Usaha bersepadu menangani tumpahan minyak dan mengelakkan bencana itu adalah tanggungjawab semua pihak, termasuk syarikat swasta.

“Persediaan awal perlu kerana jika bencana ini berlaku, ia memberi kesan besar kepada ekonomi dan alam sekitar yang menyebabkan kerugian bernilai jutaan ringgit,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, JPAS dan JAS yang bertindak sebagai urus setia bencana tumpahan minyak peringkat negeri, harus mengadakan latihan pembersihan pantai dari semasa ke semasa.

Langkah itu penting bagi memastikan pegawai dan kakitangan kedua-dua agensi berkenaan mampu menggunakan peralatan dalam situasi sebenar.

0 comments: