Followers

Monday, July 6, 2009

Sabah&Sarawak: Pegawai tak turun padang diselar

TAWAU: Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan semalam menyelar segelintir pegawai kerajaan yang tidak pernah turun padang untuk melihat keadaan sebenar masyarakat luar bandar, menyebabkan mereka tidak mendapat maklumat tepat keperluan rakyat.

Beliau berkata, pegawai terbabit lebih gemar duduk di pejabat berhawa dingin dan mendengar taklimat daripada kakitangan bawahan berbanding melihat sendiri masalah penduduk.

Katanya, tindakan pegawai terbabit tidak berkesan bagi menyelesaikan masalah penduduk kerana keputusan yang dibuat hanya berdasarkan pemahaman yang diperoleh daripada maklumat disampaikan kakitangan bawahan.

"Jika pegawai itu sendiri turun padang melihat keadaan masyarakat di kampung, sudah tentu maklumat yang diperoleh lebih terperinci kerana mereka melihat dan merasai sendiri keadaan sebenar dialami penduduk.

"Oleh itu, pegawai kerajaan harus mengamalkan pendekatan turun padang bagi memberi penerangan kepada masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program info bestari di Kampung Inderasabah, di sini semalam.

Pada program itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertanian, polis dan Kolej Komuniti mengadakan dialog dengan penduduk kampung dan pameran.

Tawfiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas, berkata lebih menyedihkan ialah ada pegawai kerajaan yang dijemput untuk menyelesaikan masalah penduduk, enggan hadir.

"Ada segelintir pegawai kerajaan tidak berminat turun padang bagi menyelesaikan masalah penduduk walaupun sudah dijemput. Mereka harus datang kerana masyarakat mengharapkan kehadiran mereka untuk memberikan cadangan mengenai sesuatu masalah," katanya.

Katanya, sejajar konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak, pegawai kerajaan tidak boleh melepaskan tanggungjawab turun padang hanya kepada pemimpin politik.

Sebaliknya, konsep berkenaan harus turut dipraktik pegawai kerajaan sejajar fungsi mereka sebagai pelaksana pembangunan yang dirancang pemimpin politik.

0 comments: