Followers

Monday, July 6, 2009

Sabah&Sarawak: Perlu bijak, kreatif cari peruntukan alternatif


JINAB yang ditemani Mohd Rashid merasmikan Hari Alam Sekitar dan Pelancaran Pusat Kitar Semula Taman Inanam Laut Fasa I dan II, Kota Kihabalu, semalam.

Ketua komuniti tidak harus desak harap wakil rakyat hulur bantuan

KOTA KINABALU: Ketua komuniti tidak harus hanya mengharapkan peruntukan wakil rakyat untuk menjalankan kegiatan kemasyarakatan, terutama membabitkan aspek kebersihan di kawasan masing-masing, sebaliknya harus kreatif mendapatkan peruntukan alternatif.

Pengerusi jawatankuasa penduduk taman perumahan, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ketua kampung harus bijak berusaha mendapatkan bantuan peruntukan daripada pelbagai agensi kerajaan yang sedia membantu menjayakan program berkaitan kebersihan.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Jainab Ahmad, ketika menekankan aspek itu, berkata wakil rakyat mempunyai peruntukan terhad dan tidak mampu disalurkan untuk pembangunan di semua kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

"Janganlah asyik mendesak wakil rakyat menyediakan peruntukan. Saya faham, anggota masyarakat mahukan wakil rakyat membantu menyediakan peruntukan. Bagaimanapun, peruntukan Adun dan Ahli Parlimen terhad dan tidak mencukupi.

"Oleh itu, kita sebagai ketua komuniti mesti bijak mencari peruntukan. Kerajaan mempunyai pelbagai agensi yang sedia membantu jika kita memohon peruntukan," katanya ketika berucap merasmikan Hari Alam Sekitar dan Pelancaran Pusat Kitar Semula Taman Inanam Laut Fasa I dan II, Inanam, di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk taman berkenaan, Mohd Rashid Mohd Tahir.

Dengan mengambil contoh kebijaksanaan jawatankuasa penduduk taman itu, Jainab yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai, berkata usaha jawatankuasa berkenaan harus dipuji kerana kreatif dalam usaha mendapatkan peruntukan membina pusat kitar semula.

"Mohd Rashid dan ahli jawatankuasanya memohon mendapatkan peruntukan daripada agensi kerajaan untuk menyediakan pusat kitar semula. Saya memuji kebijaksanaan mereka. Saya harap ketua komuniti dalam DUN Karambunai ini mencontohi usaha ini," katanya.

Jainab berkata, wakil rakyat tidak mampu menyediakan peruntukan untuk semua kemudahan yang dimohon komuniti dan jika berlaku kerosakan pada infrastruktur yang disediakan kerajaan, wakil rakyat sering dipersalahkan.

0 comments: