Followers

Monday, July 6, 2009

Sabah&Sarawak: 164 terima bantuan JKM

Penerima tambahan kepada 589 yang dikesan menerusi Projek Cari

MENUMBOK: Seramai 164 anggota masyarakat di sini dipilih menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Projek Cari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, baru-baru ini.

Mereka adalah tambahan kepada 589 penerima sedia ada skim bantuan kementerian berkenaan melalui pembayaran bulanan yang dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata 164 penerima terbabit adalah keluarga miskin, warga tua, orang kurang upaya (OKU), ibu dan bapa tunggal serta pesakit kritikal yang memerlukan pembelaan.

"Penapisan yang dilaksanakan JPKA mendapati mereka layak menerima bantuan bulanan. Projek Cari adalah usaha kerajaan untuk memastikan golongan miskin dan kurang bernasib baik menerima pembelaan, sekurang-kurangnya RM300 sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Hari Bertemu Pelanggan Sempena Bulan Kebajikan bersama penduduk daerah kecil Menumbok di Dewan Awang Semaun, di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, John Teo Mau Sing dan Penolong Pengarah JPKA, Jais Asri. Daerah kecil Menumbok membabitkan mukim Menumbok, Kilugus dan Tanjung Aru.

Program itu memberi peluang kepada anggota masyarakat yang memerlukan bantuan mengemukakan permohonan dan jika memenuhi kriteria, ia akan diluluskan serta-merta.

Azizah berkata, Projek cari membuktikan keprihatinan Barisan Nasional (BN) memelihara keharmonian masyarakat dengan memastikan anggota masyarakat kurang bernasib baik menikmati pembangunan negara.

"Masalah rakyat adalah agenda utama sejajar konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri," katanya.

Azizah turut meluangkan masa melawat seorang pesakit, Mintri Robinson, 56, yang layak diberi bantuan bulanan RM300 melalui Skim Bantuan Pesakit Kronik dan Terlantar di Kampung Sikalong, di sini.

0 comments: