Followers

Saturday, July 4, 2009

Provokasi khusus terhadap Korea Selatan

SEOUL 3 Julai - Pelancaran peluru berpandu terbaru oleh Korea Utara dilihat seolah-olah bertujuan membangkitkan kemarahan Korea Selatan berbanding dunia, kata seorang pegawai hari ini ketika Washington menegaskan bahawa sekatan yang dikenakan telah menjejaskan negara tersebut.

"Kami percaya pelancaran itu dilakukan berhubung dengan hubungan antara Korea.

''Melainkan ia adalah peluru berpandu jarak sederhana atau jarak jauh, kami percaya ia adalah satu provokasi yang ditujukan kepada Korea Selatan,'' kata jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Won Tae-Jae seperti yang dipetik agensi berita Yonhap.

Tae-Jae dalam pada itu berkata, laporan media yang mengatakan Korea Utara mungkin melancarkan peluru berpandu jarak sederhana atau jarak jauh esok sempena Hari Kemerdekaan AS juga hanyalah satu spekulasi.

Korea Utara semalam, melancarkan empat peluru berpandu permukaan ke kapal dari perairan timurnya yang terbang sejauh 100 kilometer, sebelum terhempas ke laut.

Tindakan itu menyemarakkan lagi ketegangan rantau yang berlaku ekoran ujian nuklear yang dilancarkan rejim komunis tersebut pada Mei lalu.

Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Australia mengecam pelancaran peluru berpandu itu sebagai satu tindakan provokasi.

Akhbar Korea Selatan, JoongAng Ilbo meramalkan, Korea Utara mungkin akan melancarkan beberapa siri peluru berpandu jarak dekat dalam masa beberapa hari lagi.

Sementara itu, di Washington, jurucakap White House, Robert Gibbs berkata, Korea Utara dijangka akan meneruskan tindakan provokatif mereka.

Jelas beliau, negara itu juga telah mula merasai kesan sekatan, yang merangkumi pertambahan pemeriksaan terhadap penghantaran melalui kapal di udara, laut dan darat serta sekatan senjata yang lebih meluas. - AFP

0 comments: