Followers

Saturday, July 4, 2009

Sabah&Sarawak: Pembatalan hotel lima bintang masih minimum

Bukti selesema babi tidak jejas kemasukan pelancong

KOTA KINABALU: Pembatalan bilik penginapan di hotel dan pusat peranginan bertaraf lima bintang di Sabah yang berada di tahap minimum sejak penularan selesema babi (H1N1), dilihat sebagai tanda positif yang membuktikan keyakinan pelancong untuk terus mengunjungi negeri itu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kadar pembatalan penginapan di tahap rendah itu melegakan kerajaan negeri kerana secara umumnya pengunjung masih berbelanja dan bercuti.

Katanya, pemantauan mendapati kadar penurunan pelancong antarabangsa dan domestik ke Sabah dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini hanya tiga peratus kesan kegawatan ekonomi global dan penularan H1N1.

"Selain itu, penurunan kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa sebanyak 18 peratus kepada 709,600 bagi empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu yang dilaporkan Lembaga Pelancongan Sabah (STB), didapati dipengaruhi kekurangan pencari kerja terutama dari Indonesia dan Filipina.

"Ramai rakyat dua negara itu datang ke Sabah mencari kerja tetapi pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen menyenaraikan mereka sebagai pelancong.

"Justeru, kerajaan negeri akan mencari mekanisme berkesan untuk tidak menyenaraikan pencari kerja dari luar negara sebagai pelancong kerana ia memberi impak besar terhadap statistik kedatangan pelancong ke Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pengisahan Sejarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Gaya, di Wisma Pertanian di sini, kelmarin.

Program sehari anjuran IPGM Kampus Gaya dan Arkib Negara Malaysia cawangan Sabah itu dihadiri kira-kira 1,000 warga IPGM Kampus Gaya, wakil IPGM Kampus Kent, Tuaran, IPGM Kampus Keningau, IPGM Kampus Tawau dan Arkib Negara Malaysia Sabah.

Hadir sama Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Sidek Jamil dan Pengarah IPGM Kampus Gaya, Salmah Abdullah.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Exco Pelajaran negeri, mencadangkan IPGM Kampus Gaya dinaik taraf kepada universiti yang memfokuskan kepada program kecemerlangan bahasa Inggeris dan kursus bahasa antarabangsa itu.

Katanya, beliau sedia mengetengahkan cadangan itu kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman serta membincangkannya pada mesyuarat Kabinet negeri.

Beliau berkata, IPGM Kampus Gaya memiliki sejarah tersendiri sebagai institusi perguruan yang sering menjuarai bahas Bahasa Inggeris di peringkat negeri dan kebangsaan, sekali gus memberi kekuatan kepada institusi itu untuk menjadi universiti yang menumpukan kepada kursus Bahasa Inggeris.

"Saya harap Pengarahnya mencadangkan tapak yang sesuai untuk pembinaan premis baru sekiranya kampus sedia ada tidak sesuai dijadikan universiti," katanya.

0 comments: