Followers

Saturday, July 4, 2009

Rakyat tak acuh penularan H1N1

Kesedaran elak jangkitan masih kurang


KUALA LUMPUR: Meskipun jumlah kes Influenza A (H1N1) dikesan semakin meningkat di negara ini, tahap kesedaran orang ramai terhadap langkah yang perlu diambil bagi menangani penularan wabak kurang memuaskan.

Pemandu pelancong, Yeap Shen Lee, 24, berkata, pencegahan termasuk penggunaan topeng muka kurang diamalkan rakyat walaupun Kementerian Kesihatan menggesa langkah terbabit.

“Kunjungan saya ke Taiwan, Hong Kong dan China mendapati kebanyakan rakyatnya menggunakan topeng muka. Mungkin rakyat kita berasakan penularan wabak belum serius.

“Paling penting, mereka yang kembali dari luar negara perlu mengisytiharkan keadaan kesihatan bagi mengelak lebih banyak penularan Influenza A (H1N1),” katanya.

Yeap yang menjalani pemeriksaan kesihatan sekembalinya dari Taiwan 10 hari lalu berkata, walaupun ramai rakyat Hong Kong mengunjungi negara ini pada Julai, jumlah itu berkurangan 30 peratus tahun ini.

Kakitangan swasta, Mashitah Ishak, 25, yang menjalani kuarantin tiga hari sekembalinya dari Singapura berkata, walaupun peningkatan wabak ini dilaporkan setiap hari, orang ramai tidak kisah mengenainya.

“Selain mematuhi langkah kebersihan disyorkan, kita juga perlu mencari maklumat lanjut melalui media bagi mengetahui langkah yang harus diambil jika penyakit ini terus merebak,” katanya.

Seorang kakitangan swasta, Prem Kishen, 30, berkata beliau turut risau dengan peningkatan jumlah pesakit.

“Saya perlu berkomunikasi dengan ramai orang setiap hari dan ini menimbulkan kerisauan, tambahan lagi mengetahui ada sekolah ditutup berikutan penularan penyakit ini,” katanya.

Sementara itu, kakitangan swasta, Ruzali Muis, 47, berkata walaupun kebanyakan rakyat negara ini dinasihat kurangkan lawatan ke luar negara, nampaknya masih ramai yang tidak mematuhi saranan itu.

“Kita tidak menghalang ke luar negara, tapi mereka perlu mempunyai kesedaran termasuk menjaga kesihatan ketika berada di luar negara, terutama negara mencatatkan kes H1N1 tinggi.

“Jika berasakan diri berpotensi tinggi untuk dijangkiti, saya berharap mereka memaklumkannya kepada Kementerian Kesihatan bagi membolehkan langkah pencegahan diambil sekali gus mengelak menjangkiti orang lain,” katanya.

0 comments: