Followers

Sunday, November 8, 2009

PM akan umum langkah atasi masalah bekalan elektrik, air di Sabah: Koh

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membuat pengumuman penting bagi mengatasi masalah bekalan air dan elektrik di Sabah dalam tempoh terdekat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata, Najib dan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor sedang mencari jalan untuk mengatasi segera masalah itu.

"Perlu ada langkah jangka pendek dan jangka panjang untuk mengatasi masalah air dan bekalan elektrik di Sabah yang semakin kritikal.

"Perdana Menteri akan mengumumkan langkah yang dinanti-nantikan itu apabila tiba pada masanya," katanya selepas mengadakan pertemuan bersama ahli Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Negeri Sabah di sini, hari ini.

Koh berkata, walaupun majoriti pemimpin masyarakat di Sabah berpuas hati dengan tahap kemajuan pembangunan ekonomi negeri di bawah kepimpinan ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, mereka berpendapat kebajikan rakyat daripada segi keperluan asas perlu diutamakan sebelum projek-projek pembangunan lain dijalankan.

Koh berkata, pemimpin komuniti itu juga meminta perkhidmatan kerajaan di peringkat negeri diperbaiki daripada segi kecekapan dan lebih bersopan.

"Dengan menggunakan pendekatan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk meningkatkan kecekapan sektor kerajaan terutamanya di peringkat Persekutuan, kerajaan akan memberi fokus kepada memperbaiki kecekapan dan kesopanan dalam perkhidmatannya.

"Kami akan pastikan walaupun perkhidmatan penyampaian dipercepatkan penjawat awam juga perlu lebih bersopan," katanya. - Bernama

0 comments: