Followers

Sunday, November 8, 2009

Arab Saudi buka makmal canggih bagi saring H1N1

MAKKAH: Kerajaan Arab Saudi akan menubuhkan satu makmal canggih di Arafat bagi membolehkan jemaah menjalani saringan virus influenza A(H1N1) menjelang musim haji, akhir bulan ini.

Laporan akhbar berbahasa Inggeris, Arab News, hari ini memetik Menteri Kesihatannya, Dr Abdullah Al-Rabeah, berkata jemaah tidak perlu panik kerana mereka sudah mengambil semua langkah yang perlu bagi menangani penyakit itu.

"Terdapat ciri khas di semua hospital, yang dilengkapkan dengan peralatan canggih, iaitu hospital berkenaan boleh diubah menjadi unit rawatan rapi (ICU) jika diperlukan," katanya selepas memeriksa kemudahan kesihatan di kota-kota suci di negara ini, semalam.

Katanya, satu hospital baru dengan kelengkapan 100 katil sudah dibuka di Jeddah.

Dr Abdullah juga melawat pusat kesihatan di Arafat dan hospital baru dengan kelengkapan 219 katil yang dibina di Mina.

Terdapat 15 klinik di Mina dengan jumlah 140 katil disediakan.

Katanya, di Makkah saja terdapat kira-kira 100 klinik dengan 1,000 katil dan 150 ambulans termasuk 85 kenderaan bersaiz kecil untuk kemudahan jemaah.

Dalam perkembangan lain, akhbar itu melaporkan, Pemegang Dua Masjid Suci, Raja Abdullah, mengarahkan supaya kerajaan negara itu menghoskan 1,000 jemaah haji dari pelbagai negara tahun ini.

Ianya adalah sebahagian daripada program jemaah jemputan yang diselia oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Awqaf, Da’wah dan Bimbingan.

"Titah Raja itu menunjukkan minat baginda dalam kebajikan warga Islam di seluruh dunia dan hasratnya meningkatkan hubungan Islam berdasarkan Al-Quran dan Sunnah," kata Menteri Hal Ehwal Islam, Saleh Al-Asheikh.

Katanya, jemaah jemputan itu adalah daripada benua Eropah Timur, negara Balkan, Asia Tengah, Asia dan Afrika. - Bernama

0 comments: