Followers

Sunday, November 8, 2009

Sabah hadapi ancaman Padi Angin


KOTA BELUD: Petani di Sabah kini berhadapan dengan ancaman rumpai tanaman padi dikenali “Padi Angin” yang dikesan merebak di beberapa daerah negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin.

Katanya, Padi Angin adalah sejenis padi yang mempunyai sifat biji mudah lerai dan kehadirannya di sawah boleh menyebabkan kehilangan hasil padi dari 10% hingga 90 %, bergantung kepada tahap seriusnya serangannya.

Beliau berkata, Padi Angin masak lebih awal di antara 10-25 hari daripada padi yang ditanam. Biji-biji Padi Angin yang lerai akan tumbuh bersama dengan benih padi yang ditabur pada musim berikutnya yang menyebabkan serangan Padi Angin akan menjadi bertambah serius dari musim ke musim.

“Serangan Padi Angin di tahap yang serius telah berlaku di Kota Marudu dan Kota Belud”, katanya ketika melancarkan Kempen Kesedaran Ancaman Padi Angin Peringkat Negeri di Dewan Tun Said, kelmarin..

Turut hadir di majlis itu ialah Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Bobbey A.Suan dan Datuk Haji Musbah Jamli, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Herbert Timbon Lagadan, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, Datuk Japlin Akim, Pengarah Peranian Negeri, Encik M.C. Ismail Salam, Pegawai Daerah Kota Belud, Encik Najib Montok dan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata, setakat ini, dianggarkan lebih kurang 1,100 hektar kawasan sawah padi di daerah Kota Marudu dicemari dengan Padi Angin, 500 hektar di daerah Kota Belud, 50 hektar di daerah Papar, 40 hektar di daerah Tenom dan 8 hektar di daerah Penampang.

Kempen itu yang akan dilaksanakan di seluruh daerah penanaman padi di Sabah dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Sabah dalam usaha kerajaan untuk memberi kesedaran kewujudan dan ancaman Padi Angin serta kawalanya kepada penanam-penanam padi, pemilik jentera ladang, pengilang-pengilang padi serta daerah-daerah utama penanaman padi yang telah dan belum tercemar dengan kehadiran Padi Angin.

Sehubungan itu, Yahya mengumumkan beberapa strategi menangani ancaman Padi Angin yang akan dilaksanakan oleh kerajaan , antaranya termasuklah mengawal pergerakan Jentera Pembajak, Jentanam dan Jentuai.

Menurutnya, pemilik-pemilik jentera ladang perlu mendaftarkan jentera-jentera mereka di daerah serta mendapatkan pas kerja untuk kerja-kerja membajak dan menuai di luar daerah ia berdaftar. Jabatan Pertanian tidak akan mengeluarkan Sijil Sah Kebersihan Jentera, sekiranya terdapat jentera-jentera tidak dibersihkan sebelum kerja-kerja pembajakan atau penuaian.

Beliau turut menasihatkan para petani supaya tidak menggunakan benih-benih yang sudah tercemar dengan Padi Angin, sebaliknya menggalakkan mereka menyediakan benih baik melalui plot petani sendiri.

“Saya juga ingin memaklumkan mengenai pengharaman pergerakan benih padi dari daerah-daerah yang telah tercemar dengan Padi Angin untuk digunakan sebagai sumber benih untuk ditanam oleh para petani.

“Di samping, para petani juga dinasihatkan agar mengawal merebaknya Padi Angin ini dengan acara amalan kultura seperti kaedah “rouging” (mencabut), pembajakan 3 kali dan mengamalkan kaedah penanaman secara mengubah. Para petani juga boleh memohon kelulusan untuk melaksanakan kaedah pembakaran jerami sebelum penanaman berikutnya”, tegasnya.

Yahya menasihatkan agar daerah-daerah yang telah tercemar, jika perlu agar melaksanakan penangguhan satu musim penanaman.

Menurutnya, untuk meningkatkan kesedaran mengenai ancaman Padi Angin, sebaran dan makluman kepada umum perlu dibuat terutamanya melalui berita TV, siaran radio, laman web, artikel di akhbar-akhbar dan melalui poster-poster serta papan-papan tanda di tempat-tempat yang strategik di daerah-daerah.

Dalam pada itu, beliau juga mahu Jabatan Pertanian meningkatkan aktiviti-aktiviti kursus ulang kaji, khususnya kepada Juruteknik Pertanian bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran untuk menangani ancaman Padi Angin.

Beliau turut menyeru agar semua pihak yang terlibat dalam industri padi terutamanya para petani, agensi-agensi kerajaan, para kontraktor, pengilang dan pemimpin tempatan agar memberi sokongan, komitmen dan kerjasama dalam usaha membendung perebakan Padi Angin di Sabah.

“Saya yakin usaha murni Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Sabah dalam penganjuran Kempen Kesedaran Ancaman Padi Angin dapat menyampaikan mesej yang diharapkan kerajaan demi kejayaan pembangunan Industri Padi di negeri ini”, tambahnya.

0 comments: