Followers

Sunday, November 8, 2009

Menteri Pelancongan ketuai delegasi ke WTM

LONDON: Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen akan mengetuai delegasi Malaysia bagi menyertai World Travel Market (WTM) ke-30 mulai 9 hingga 12 November ini, di Pusat Pameran Excel di sini.

Pada majlis itu, Dr Ng juga akan mengadakan mesyuarat dan temu bual dengan pengusaha pelancongan utama dan penggiat utama pelancongan di United Kingdom.

Dr Ng juga akan menjadi hos majlis koktail bagi penggiat utama pelancongan dan melancarkan video portal online mengenai Malaysia, TrulyAsia.TV, yang boleh diakses dalam pelbagai bahasa.

Duta Pelancongan Malaysia Datuk Seri Jean Todt yang juga Presiden Persekutuan Internationale de l''Automobile (FIA) dan pembuat kasut terkenal Datuk Jimmy Choo juga akan hadir.

Delegasi Malaysia yang mengandungi kira-kira 77 peserta dari 38 pertubuhan termasuk hotel, pengusaha pelancongan, syarikat penerbangan dan lembaga pelancongan negeri dari Pulau Pinang, Selangor, Sabah, dan Kuala Lumpur dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).

Lebih daripada 190 negara dijangka mengambil bahagian. - Bernama

0 comments: