Followers

Saturday, November 7, 2009

Banjir di Terengganu beransur pulih

KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di Terengganu semakin pulih, pagi ini selepas ramai mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu, 2,681 mangsa banjir masih berada di 49 pusat pemindahan di daerah-daerah yang dilanda banjir sehingga jam 8 pagi tadi.

Menurutnya, jumlah paling ramai dicatat di Besut iaitu 1,342 mangsa daripada 324 keluarga di 16 pusat pemindahan, di Hulu Terengganu (570 daripada 141 keluarga di 15 pusat pemindahan), di Setiu (294 daripada 143 keluarga di 11 pusat pemindahan) dan 475 daripada 105 keluarga masih berada di tujuh pusat pemindahan di Dungun.

"Bagaimanapun, jumlah itu dijangka berkurangan kerana kebanyakan mangsa banjir terutama di Besut telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi ini," katanya.

Katanya, hujan yang reda sejak semalam menyebabkan limpahan air sungai mulai surut di beberapa daerah di negeri itu sejak pagi semalam.

Menurut beliau, semua jalan utama di daerah-daerah berkenaan sudah boleh dilalui kecuali beberapa jalan kampung di Setiu yang masih ditutup kepada kenderaan ringan.

Setakat ini, tidak ada laporan kes-kes tidak diingini seperti lemas dilaporkan, katanya.

Sementara itu, Bilik Gerakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu memberitahu hanya bacaan di tiga sungai masih mencatat paras bahaya dan keadaan paras air di kebanyakan sungai sudah kembali baik.

Katanya, kedudukan paras air di Sungai Besut masih mencatat paras bahaya dengan bacaan di Jambatan Jerteh 9.81 meter melepasi paras bahaya 8.9 meter, bacaan di Kampung Langkap di Setiu (21.93 meter melepasi paras bahaya 21.5 meter) dan bacaan Sungai Setiu di Kampung Bukit (14.15 meter melepasi paras bahaya 12.0 meter).

Kesemua bacaan diambil pada jam 9 pagi tadi.

Secara keseluruhannya, keadaan hari kedua banjir di seluruh negeri semakin pulih berikutan paras air sungai yang semakin surut, dan dijangka berterusan sehingga petang sekiranya keadaan cuaca bertambah baik, katanya. - Bernama

0 comments: