Followers

Tuesday, October 6, 2009

H1N1: 189 Pesakit baru dengan gejala ILI

KUALA LUMPUR: Seramai 189 kes baru dengan gejala penyakit sama Influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 131 kes didiscaj hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, jumlah semasa kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara sehingga hari ini ialah 801 orang dengan 56 pesakit adalah kes Influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal.

"Daripada 56 pesakit Influenza (H1N1) yang menerima rawatan di hospital sebanyak 14 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian akibat Influenza (H1N1) didaftarkan dengan jumlah kematian kekal pada 77 kematian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, 12 daripada 14 kes H1N1 yang sedang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak bawah lima tahun (tujuh kes), penyakit kronik (tiga kes) dan obesiti (dua kes).

Sementara itu, Kementerian Kesihatan juga menasihatkan orang ramai supaya terus berwaspada dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit itu yang masih aktif dalam komuniti, walaupun kes Influenza A(H1N1) semakin berkurangan. - Bernama

0 comments: